Kabinet Anwar seakan mandul kerana menteri ‘tangkap muat’
Peluang kedua PM untuk rombak, jika tak mahu kerajaan tumbang

Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 13 Rabiulawal 1445H, Jumaat – Rombakan Kabinet boleh memberi peluang kedua buat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperbetulkan keadaan dan memulihkan kembali kredibiliti kerajaan ekoran kewujudan beberapa anggota menteri yang tidak berwibawa.
Justeru, BERJASA menyarankan Anwar mempertimbangkan untuk merombak Kabinet dengan menggugurkan beberapa anggota menteri yang tidak berkaliber sepanjang menjalankan portfolio masing-masing.
Naib Presiden BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al-Hakim percaya, jika Anwar masih mahu mempertahankan Kabinet sekarang, tidak mustahil kerajaan campuran membabitkan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) boleh ditumbangkan bila-bila masa.
“Ini kerana Kabinet pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kini seakan mandul, tidak berfungsi dan bakal membawa Malaysia ke lembah kemunduran yang lebih teruk ketika ketidaktentuan ekonomi semakin meruncing.
“Ramai menteri yang sibuk dengan agenda parti masing-masing, melayan isu picisan dan tidak efektif dalam menyelesaikan masalah pokok yang melanda negara,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Lebih malang katanya, tindak-tanduk ‘tidak matang’ menteri kebelakangan ini dibuat tatkala kos sara hidup rakyat kian parah dan kedaulatan negara juga terancam tanpa sebarang polisi baharu yang ampuh.
Muhammad Lukman percaya, keadaan yang menimpa rakyat dan negara ketika ini adalah berpunca daripada menteri ‘tangkap muat’ yang tidak berwibawa dilantik oleh Anwar.
“Status kerajaan campuran yang tidak stabil juga menyebabkan semua fokus para menteri terpaksa diberikan kepada pemerkasaan parti dan gabungan politik masing-masing.
“Rakyat akan terus menilai dan menganalisa. Jika tiada sebarang perubahan, kerajaan campuran hari ini pasti akan ditumbangkan bila-bila masa,” katanya.
Desas-desus mengenai rombakan Kabinet hangat diperkatakan apabila media melaporkan perubahan berkemungkinan berlaku dalam masa terdekat membabitkan beberapa kementerian selepas Raya Kecil (PRK) Pelangai pada 7 Oktober ini.
Terdahulu, Anwar tidak menolak kemungkinan akan membincangkan mengenai rombakan Kabinet ketika beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Jumaat.
Bagaimanapun, menurut Anwar, rombakan Kabinet ketika ini tidak terlalu mendesak kerana hanya terdapat satu kekosongan jawatan menteri yang perlu diisi iaitu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang disandang Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sebelum ini.