Berita Utama

Khutbah ingatkan jauhi tuduhan melulu hingga terjebak qazaf

Tingkat kualiti akhlak, jadikan Rasulullah tauladan terbaik

BANGI, 13 Rabiulawal 1445H, Jumaat – Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini mengingatkan umat Islam supaya menjauhi perbuatan yang boleh menimbulkan fitnah sesama muslim.

Ini termasuk melakukan tuduhan secara melulu dengan mengatakan sesat dan kufur ke atas orang Islam, serta mencaci-maki sehingga boleh terjebak dalam perbuatan jenayah qazaf yang amat berat dosa dan hukuman di sisi Allah SWT.

Justeru, khutbah mengajak seluruh umat Islam untuk meningkatkan kualiti akhlak mulia dan menjadikan Nabi Muhammad ﷺ sebagai suri tauladan terbaik.

“Bagi tujuan itu juga, kita selaku umat yang berkeperibadian mulia mesti menjauhi diri dari terlibat dengan amalan-amalan yang bersifat keji dan mungkar sama ada dalam bentuk lisan dan perbuatan yang akan merendahkan kemuliaan diri selaku umat Nabi Muhammad ﷺ.

“Sesungguhnya banyak akhlak mulia Rasulullah yang mesti kita terapkan dalam kehidupan kita selaku seorang muslim pada hari ini.

“Antara akhlak mulia tersebut ialah agar kita bersama-sama ‘mentakzim’ atau mengagungkan atau memuliakan umat Nabi Muhammad ﷺ,” kata khutbah.

Khutbah menjelaskan, maksud ‘mentakzim’ umat Nabi Muhammad ﷺ boleh difahami sebagai amalan dan tindakan bersegera bagi menjaga kebajikan mereka, seterusnya menyatupadu serta mengharmonikan sesama umat Islam.

“Mentakzim umat Nabi Muhammad ﷺ juga beerti kita umat Islam mesti saling memelihara dan menjaga maruah dan harta benda mereka.

“Marilah kita mengikut suri tauladan Baginda supaya terzahir hakikat cinta sebenar kepada Rasulullah ﷺ dengan menyatupaduakan umat baginda,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button