PAS boleh menang jika setuju adakan PRK Kemaman
Lebih baik pertahan kerusi melalui keputusan pengundi

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
BANGI, 13 Rabiulawal 1445H, Jumaat – Langkah terbaik untuk PAS mengekalkan kemenangan di kerusi Parlimen Kemaman adalah dengan memberi laluan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan.
Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Dr Azmi Hassan berkata, parti itu tidak disaran membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Pilihan Raya – yang membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid yang mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Ini kerana berlandaskan kepada keputusan pilihan raya lalu serta landskap politik masa kini, tidak mustahil parti itu mampu mempertahankan kerusi berkenan.
“Bagi saya PAS tidak perlu mengemukakan rayuan. Biarkan PRK itu diadakan kerana mengikut keputusan yang lepas dan senario terkini, tiada masalah PAS mempertahankan kerusi.
“Jadi lebih baik PAS mendapat kerusi bukan daripada keputusan hakim (jika rayuan diterima) tetapi melalui keputusan pengundi ataupun rakyat kawasan Kemaman. Itu lagi baik,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.
Sebelum ini, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias pada PRU15 bagi kerusi Parlimen berkenaan.
Hakim Pilihan Raya, Datuk Anselm Charles Fernandis membuat keputusan tersebut setelah mendapati wujud unsur sogokan kepada pengundi ketika tempoh kempen.
Dalam pilihan raya itu, Che Alias menewaskan tiga calon lain termasuk bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dengan majoriti 27,179 undi.
Setakat ini, PAS belum memutuskan sama ada untuk membuat rayuan berhubung keputusan mahkamah pada 26 September lepas.