Berita Utama

Public Bank, CIMB tangguh caj pembayaran QR DuitNow

Peniaga nikmati pengecualian yuran hingga tempoh diberitahu kelak

KUALA LUMPUR, 13 Rabiulawal 1445H, Jumaat – Beberapa institusi kewangan, termasuk Public Bank dan CIMB, mengumumkan penepian atau ‘waiver’ kadar diskaun pedagang (MDR) untuk vendor yang menerima pembayaran melalui platform kod QR DuitNow.

CIMB telah memutuskan untuk menangguhkan MDR sehingga akhir tahun, manakala Public Bank akan mengekalkan penepian sehingga diberitahu kelak.

Public Bank telah memaklumkan di laman webnya bahawa ia akan mengetepikan fi berikut untuk penerimaan pembayaran QR, berkuat kuasa dari 1 Oktober sehingga notis selanjutnya.

Pihaknya berkata, peniaga akan menikmati pengecualian yuran untuk kategori seperti penerimaan pembayaran melalui Akaun Semasa dan Simpanan, e-dompet, dan Yuran Penyelenggaraan dan Yuran Penyepaduan API di bawah Rancangan Perusahaan bank.

Urus niaga kad kredit di bawah Pelan Perusahaan akan dikenakan caj sebanyak 0.25%.

Perkhidmatan QR DuitNow membolehkan pemindahan wang antara bank dan entiti bukan bank dengan mengimbas kod QR.

Ia ditubuhkan oleh Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) di bawah Rangka Kerja Pemindahan Kredit Boleh Dikendali Bank Negara.

Semalam, Paynet mengesahkan bahawa vendor akan dikenakan yuran transaksi untuk pembayaran yang diterima melalui platform kod DuitNow QR tetapi terdapat beberapa kekeliruan yang perlu dijelaskan.

“Kebimbangan dibangkitkan mengenai kesan yuran yang bakal dikenakan ke atas peniaga dan impak kepada harga barangan dan perkhidmatan boleh difahami. 

“Bagaimanapun, dua jenis e-pembayaran yang berbeza telah disifatkan oleh media sebagai sama, iaitu kadar diskaun pedagang (MDR) dan yuran 50 sen untuk transaksi melebihi RM5,000.

“Liputan tersebut telah secara tidak tepat menggambarkan dua jenis e-pembayaran yang berbeza sebagai satu yang sama,” katanya.

PayNet berkata demikian sebagai mengulas mengenai laporan media tentang sebuah institusi perbankan tempatan yang memaklumkan pelanggannya mengenai pengenaan yuran transaksi untuk pembayaran DuitNow QR dan transaksi yang dibuat dengan kad kredit berkuat kuasa 1 November 2023 dan beberapa bank kononnya tidak tahu menahu perkara ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button