Rafizi masih gagal, patut tukar portfolio
Setakat formula masak dan makan di rumah itu biasa-biasa

BANGI, 13 Rabiulawal 1445H, Jumaat – Rafizi Ramli sewajarnya tersenarai sebagai menteri yang perlu ditukar portfolio sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan untuk merombak Kabinet.
Ini kerana Menteri Ekonomi itu masih gagal menawarkan formula luar biasa untuk ekonomi rakyat, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi.
“Setakat formula masak dan makan di rumah itu biasa-biasa.
“Elok Rafizi diberi peluang kemuka ‘formula pelancongan’ pula.
“Mana tahu berkesan. Mungkin Rafizi akan jadi Menteri Pelancongan terbaik,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Sebelum ini, Anwar memberi bayangan sedang mempertimbang segala kemungkinan berhubung rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan dalam masa terdekat.
“Saya tengah fikir dulu (rombakan Kabinet),” katanya.
Desa-desus rombakan Kabinet timbul selepas jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup kosong kerana kematian penyandang, Datuk Seri Salahuddin Ayub.