Tahanan Palestin mogok lapar 57 hari dipindah ke klinik penjara
Kesihatan Kayed merosot sejak bantah tahanan pentadbiran

RAMALLAH, 13 Rabiulawal 1445H, Jumaat – Tahanan Palestin, Kayed al-Fasfous kini dipindahkan ke klinik Penjara Ramla selepas 57 hari melancarkan mogok lapar sebagai membantah penahanan pentadbiran rejim Israel ke atasnya.
Persatuan Banduan Palestin (PPS) berkata, keadaan kesihatan Kayed semakin merosot akibat mogok lapar.
Berikutan itu, Kayed telah dipindahkan oleh pihak berkuasa Israel dari Penjara Asqalan ke klinik Penjara Ramla, menurut Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan PLO.
Kayed, 34, dari bandar Dura di Hebron telah ditahan di penjara Israel tanpa sebarang pertuduhan atau perbicaraan sejak 2 Mei 2023.
Dia adalah bekas tahanan yang sebelum ini menghabiskan kira-kira tujuh tahun tempoh penahanan di penjara Israel.
Rejim Israel menahan sekurang-kurangnya 1,126 rakyat Palestin di bawah tahanan pentadbiran, jumlah tertinggi sejak kumpulan hak asasi menusia mula mengumpul data bulanan pada 2001.
Israel juga berdepan krisis kesesakan penjara, dengan populasi penghuninya kini berjumlah 16,279 melebihi standard 14,500 tahananyang ditetapkan oleh Jawatankuasa Dalam Negeri Knesset.
Terdapat 5,100 rakyat Palestin dipenjarakan Israel dengan 1,200 diletakkan di bawah penahanan pentadbiran, menurut data diberikan kumpulan peguam bela banduan Addameer.
Tahanan pentadbiran tidak pernah didakwa dengan sebarang pertuduhan atau diberi ruang perbicaraan, selain peguam mereka dihalang daripada melihat bukti.- Agensi