Berita Utama

Tangani segera isu minyak paket bersubsidi, elak eksploitasi warga asing

Langkah kawal penjualan masih samar, ketirisan punca rakyat jadi mangsa

BANGI, 13 Rabiulawal 1445H, Jumaat – Kerajaan digesa segera mencari mekanisme terbaik memastikan minyak masak paket bersubsidi tidak dieksploitasi warga asing.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, hakikatnya warga asing bukan sahaja membeli sewenang-wenangnya, namun mereka turut menjualnya di kedai-kedai runcit secara berleluasa.  

Beliau berkata, merujuk kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup di Dewan Negara baru-baru ini ada menyatakan bahawa kementerian akan menambah kuota minyak masak paket bagi menangani isu ini. 

Namun begitu, katanya, langkah pengawalan penjualan minyak masak bersubsidi kepada warga asing masih lagi samar.   

“Oleh itu, insentif penambahan kuota pastinya tidak akan menyelesaikan isu penjualan barang bersubsidi kepada warga asing. 

“Perkara ini sewajarnya dipandang serius oleh kementerian kerana ketirisan pemberian subsidi kepada warga asing akan memangsakan rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Shaharizukirnain berkata, kegusaran rakyat kian bertambah kerana masalah kekurangan dan kenaikan harga beras masih belum berjaya diselesaikan ditambah pula dengan isu kekurangan minyak paket bersubsidi di pasaran.  

“Justeru, saya mencadangkan kepada pihak kementerian untuk mempertimbangkan agar setiap pembelian barang bersubsidi termasuk minyak masak paket mestilah dikenakan syarat yang ketat.

“Cadangan seperti mempamerkan kad pengenalan atau kad MySejahtera seperti mana yang dilaksanakan di negara lain antaranya Indonesia bukan sahaja mampu mengekang isu pembelian minyak bersubsidi oleh warga asing malah ia mampu menyelesaikan isu pembelian barang tersebut secara berlebihan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button