Berita Utama

TH bincang dengan MOF berkait pengambilan semula aset

Terbuka kepada semua peluang pelaburan boleh beri nilai tambah

BANGI, 13 Rabiulawal 1445H, Jumaat – Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan akan memulakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan (MOF) berkaitan pengambilan semula aset yang dipindahkan kepada Urusharta Jamah Sdn Bhd.

TH dalam kenyataan hari ini turut menyambut baik pengumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan pemindahan semula aset-aset yang dipindahkan kepada Kementerian Kewangan pada 2018.

Katanya, TH sentiasa terbuka kepada semua peluang pelaburan yang boleh memberi nilai tambah kepada institusi ini dan pendeposit.

“Usaha ini juga akan dikaji secara terperinci dan akan melalui proses dan tatakelola sedia ada.

“TH akan membuat pengumuman seterusnya berkenaan perkara ini pada masa yang sesuai,” katanya.

Terdahulu, Anwar dilaporkan berkata, kerajaan akan menyerahkan semula aset TH yang diletakkan di bawah Syarikat Bertujuan Khas (SPV) Kementerian Kewangan (MOF) kepada institusi itu.

Anwar yang juga Menteri Kewangan itu berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas MOF berpuas hati dengan isu pengurusan dan tata kelola yang berbangkit sebelum ini, selain prestasi kewangan TH yang terus memulih, khususnya selepas bergelut isu kepincangan sebelum ini.

Beliau berkata, penyerahan semula aset TH itu juga membuktikan dakwaan pihak tertentu kononnya aset TH yang diletakkan dibawah SPV sudah diserah kepada pemilikan bukan Islam adalah tidak benar sama sekali.

Berita berkaitan;

https://ismaweb.net/2023/09/29/mof-bincang-serah-semula-aset-th/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button