Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Champa jadikan Malaysia rujukan agama

Bahasa Melayu terus berkembang di Vietnam, termasuk melalui perdagangan

Oleh Zuhayati Yazid

KUALA LUMPUR, 14 Rabiulawal 1445H, Sabtu – Malaysia sebagai negara berdaulat kini menjadi rujukan kepada masyarakat Champa di Vietnam terutama melibatkan hukum-hakam agama.

Ini diperkukuhkan lagi dengan kehadiran kumpulan guru-guru dari Malaysia terutama Kelantan dan juga wilayah Pattani, Thailand yang mengajar dan mewujudkan sekolah moden kepada anak-anak masyarakat Champa.

Pensyarah Universiti Sains Sosial dan Kemanusian, Vietnam, Dr Ma Thanh Hong @ Basiron Abdullah berkata, pengaruh Melayu-Islam dalam masyarakat Champa di Vietnam masih lagi berterusan hingga kini.

“Meskipun masyarakat Champa adalah golongan minoriti di Vietnam namun pengaruh agama dan Melayu masih kuat selepas diberikan kesedaran mengenai Islam dan kepentingan bahasa Melayu.

“Kumpulan guru-guru ini bukan sahaja mewujudkan sekolah moden kepada anak-anak Islam di Vietnam, tetapi memberi kesedaran dan kepentingan pembelajaran agama Islam melalui kelas al-Quran dan fardu ain kepada masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Wacana Kesatuan Umat Islam Serantau anjuran gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) di Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM), hari ini.

Mengulas lanjut, Basiron mengakui situasi berkenaan menyebabkan pengaruh Islam dalam kalangan masyarakat Champa semakin berkembang.

Katanya, ramai anak muda Vietnam sanggup berhijrah dan mencari ilmu di Malaysia untuk mendalami ilmu dan kembali ke tanah airnya untuk mengajar dan sebarkan syiar Islam.

Perkara sama turut melibatkan penggunaan bahasa Melayu – apabila masih ada yang menggunakan bahasa Melayu dalam percakapan harian mereka.

Beliau mengakui kagum kerana penggunaan bahasa Melayu diperluas dengan gelombang perdagangan melalui pelancong Malaysia ke negara itu.

“Kalau dahulu mereka memperkasakan bahasa Melayu melalui pembelajaran agama sahaja, tetapi kini ia semakin berkembang berikutan ramai rakyat Malaysia yang melancong ke Vietnam,” katanya.

Justeru, beliau mengharapkan ada pihak tertentu yang bersedia untuk meneruskan perjuangan dengan mengembangkan pengaruh Islam dan bahasa Melayu di negaranya supaya tidak terhapus.

Wacana Kesatuan Umat Islam Serantau julung kali diadakan dengan menumpukan tiga topik utama iaitu penjajahan Alam Melayu dan Kesannya, Idea Kesatuan di Era Penjajahan, Satu Analisa dam Kritikan serta Forum Jalan Menuju kepada Kesatuan Serantau.

Penganjuran ini menampilkan pemikir-pemikir dan ahli akademik dari beberapa negara Asia yang terdiri daripada Brunei, Singapura, Thailand , Vietnam, Indonesia dan juga Malaysia.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button