Jerebu: Negeri Sembilan, Johor catat IPU tidak sihat
51 stesen APIMS seluruh negara catat bacaan sederhana

BANGI, 15 Rabiulawal 1445H, Ahad – Bacaan indeks pencemar udara (IPU) di empat kawasan membabitkan dua negeri di Semenanjung mencatatkan tahap tidak sihat sehingga jam 11 pagi tadi.
Berdasarkan laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), IPU tertinggi direkodkan di Larkin, Johor dengan bacaan 155 diikuti Nilai, Negeri Sembilan (124); Port Dickson, Negeri Sembilan (109) dan Batu Pahat, Johor (104).
Malah, peta taburan IPU di laman web tersebut menunjukkan, sebanyak 51 stesen APIMS di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU sederhana.
Manakala 13 stesen lagi mencatatkan bacaan baik iaitu di Sabah dan Sarawak.
Sebagai rekod, bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai berbahaya.
Orang ramai boleh merujuk laman web APIMS untuk mengetahui bacaan IPU terkini.