Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita UtamaDunia

Kedutaan Afghanistan di New Delhi ditutup

Susulan kurang sokongan India dan kekurangan kakitangan

NEW DELHI, 15 Rabiulawal 1445H, Ahad – Kedutaan Afghanistan di New Delhi ditutup berikutan tidak mendapat sokongan sepenuhnya daripada kerajaan India serta kerajaan sementara di Kabul.

Misi yang terletak di kawasan diplomatik Chanakyapuri itu  menamatkan operasi mulai hari ini.

“Dengan rasa sedih, kesal dan kecewa, kedutaan Afghanistan di New Delhi mengumumkan keputusan untuk menamatkan operasinya.

Keputusan itu amat dikesali dan dibuat selepas pertimbangan teliti, dengan mengambil kira hubungan bersejarah dan perkongsian antara Afghanistan dan India yang telah terjalin sekian lama,” menurut kenyataan itu.

Antara faktor penutupan itu, termasuk kurangnya sokongan daripada kerajaan tuan rumah, sumber yang tidak mencukupi dan kekurangan kakitangan.

“Ketiadaan ketara sokongan penting daripada kerajaan tuan rumah telah menghalang keupayaan kami untuk menjalankan tugas dengan berkesan.

“Kurang sokongan yang diperlukan untuk pembaharuan visa diplomat sehingga ke bidang kerjasama kritikal yang lain amat menghampakan dan menghalang keupayaan kami untuk menjalankan tugas rutin dengan berkesan,” kata kedutaan Afghanistan.

Kedutaan itu diterajui Duta Farid Mamundzay yang dilantik oleh pentadbiran Ashraf Ghani sebelum kerajaan berkenaan tumbang pada Ogos 2021 apabila Taliban mengambil alih Kabul.

Menurut kenyataan itu, selaras dengan Artikel 45 Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik (1961), semua harta dan kemudahan kedutaan akan dipindahkan kepada jagaan pihak berkuasa negara tuan rumah.

Walaupun kedutaan ditutup, konsulat Afghanistan di Mumbai akan kekal beroperasi.

Afghanistan juga mempunyai konsulat di bandar Hyderabad yang dibuka pada Januari 2020.

Konsul Jeneral Afghanistan di Mumbai, Zakia Wardak, dalam satu kenyataan menjawab isu penutupan itu.

“Dalam masa yang mencabar ini, kami ingin memberi jaminan kepada semua warga Afghanistan yang tinggal di India bahawa bahawa anda masih boleh mendapatkan bantuan konsular, pendidikan atau komersial menerusi Konsulat Jeneral Afghanistan di Mumbai dan Hyderabad,” kata Zakia. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button