Libya kembali tawar penerbangan komersial ke Itali
Dua pesawat Libya beroperasi dalam masa seminggu

TRIPOLI, 15 Rabiulawal 1445H, Ahad – Libya kembali menyambung perkhidmatan penerbangan komersial ke Itali, selepas hampir satu dekad menghentikan perkhidmatan berkenaan.
Sebuah penerbangan yang dikendalikan syarikat penerbangan Libya, Medsky Airways telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Mitiga di Tripoli ke ibu kota Itali, Rom semalam.
Menurut kedutaan Libya di Itali, sebanyak dua pesawat akan beroperasi ke Rom dalam masa seminggu iaitu pada Sabtu dan Rabu.
Pada 2014, Kesatuan Eropah melarang penerbangan dari Libya berikutan keadaan huru-hara dan konflik negara tersebut.
Bagaimanapun Itali menarik balik larangan ke negara Afrika Utara itu hujung Julai lalu berikutan perbincangan oleh Perdana Menteri Libya, Abdul Hamid Dbeibeh dengan pegawai Itali di Rom.
Libya yang kaya dengan minyak kekal bergolak sejak 2011, apabila pemerintah lama, Muammar Gaddafi digulingkan dan dibunuh selepas empat dekad berkuasa. – Agensi