Berita Utama

30 ahli, penyokong UMNO hantar borang sertai PAS

'Kami mahu perubahan dan kemajuan kampung, bukan kerjasama dengan DAP'

BENTONG, 16 Rabiulawal 1445H, Isnin – Seramai 30 orang ahli dan penyokong UMNO Cawangan Kampung Chemomoi dilaporkan menyerahkan borang permohonan keahlian PAS, semalam.

Ahli UMNO, Kamisah Abdul Kadir berkata, tindakan itu diambil kerana mereka sudah terlalu marah dan kecewa terhadap kepimpinan UMNO.

“Kebanyakan ahli UMNO marah Barisan Nasional (BN) gabung dengan DAP, kami amat kecewa dengan BN. Kami mahukan perubahan dan kemajuan kampung, bukan kerjasama dengan DAP.

“Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai ini tak pernah berubah sejak dulu sampai sekarang, kali ini atas segala pergolakan yang berlaku, kami usaha nak berubah,” katanya seperti dilapor Harakahdaily.net.

Beliau bersama beberapa orang lagi ahli UMNO Kampung Chemomoi hadir menyerahkan borang keahlian PAS kepada Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar sekali gus menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

Turut hadir hadir ialah Ketua Penerangan PAS negeri, Ustaz Tarmizi Yahaya.

Sementara itu, seorang lagi penyokong veteran UMNO, Mad Yusof Abdul Ghani, 80, meluahkan sudah muak dengan permainan politik BN yang terlalu banyak tipu helah.

“Saya dah jemu dengan Barisan Nasional kerana mereka ni banyak sangat helah, bunyi banyak bantuan tapi hapak pun tak dapat,” katanya ketika ditanya alasan berubah sokongan daripada UMNO kepada PAS.

Dalam pada itu, Mad Yusof menyatakan bahawa beliau amat berbangga apabila mendapat tahu bahawa calon PN adalah bekas guru, Kasim Samat.

“Saya kenal betul Cikgu Kasim daripada kecil. Dahulu saya pembeli getah beku, ayah Cikgu Kasim menoreh, jual getah beku pada saya. Masa itu Cikgu Kasim berumur 10 tahun.

“Saya sokong penuh PN naiklah kali ni, hari Sabtu, tujuh haribulan saya akan undi Cikgu Kasim, calon nombor satu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button