Berita Utama

Alam Melayu berpotensi dibangunkan jika ummah serantau bersatu

Gerak kerja Harakah Islamiyah perlukan pembaharuan untuk 100 tahun ke depan

BANGI, 16 Rabiulawal 1445H, Isnin – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yakin alam Melayu mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sekiranya umat Islam serantau saling bersatu padu.

Sebagai gerakan Islam yang kehadapan, ISMA melihat wujud keperluan untuk membuat pembaharuan dalam gerak kerja Harakah Islamiyah, khususnya meliputi kesatuan institusi ummah di rantau ini.

Apatah lagi, setelah melihat pelbagai peristiwa dan perkembangan di peringkat global beberapa tahun kebelakangan ini, yang memberi kesan besar kepada corak pemikiran serta gerak kerja Harakah Islamiyah.

Untuk merealisasikan perkara itu, Amir ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abdullah berkata, perlunya pendekatan baharu untuk memulakan perjalanan dan pemikiran yang baharu bagi menempuh 100 tahun ke hadapan.

“Saya telah sampaikan mengenai peri pentingnya Harakah Islamiyah untuk melakukan kajian dan murajaah (semakan semula) perjalanan dakwah mereka, menilai kelebihan dan kekurangan, menyemak cara kerja dan pemikiran, adakah masih sesuai dan relevan untuk digunakan pada masa kini dan akan datang.

“Maka, salah satu usaha awal yang kita setuju untuk mulakan ialah kesatuan umat Islam di rantau ini,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Ustaz Abdullah Zaik, alam Melayu sebenarnya mempunyai persamaan yang hampir dalam semua aspek seperti akidah, agama, bahasa dan mazhab, berbanding perbezaan yang mungkin hanya sedikit.

“Sehingga kini, tiada institusi kuat yang menyatukan antara kita yang menyebabkan kita terdedah dengan ancaman.

“Kita ibarat bangkai yang dikeremuni oleh pemangsa. Jadi ini sangat kritikal,” katanya.

Selaras usaha itu, beliau berkata, inilah hasrat ISMA dalam menganjurkan Wacana Kesatuan Umat Islam pada Sabtu lalu, sebagai langkah awal dalam bersama mencari jalan dan titik temu untuk membina semula institusi ummah di rantau ini.

“Usaha ini pasti akan wujud pelbagai cabaran di tengah jalan.

“Tetapi selama kita semua berpegang kepada ajaran al-Quran dan As-Sunnah, insyaAllah semangat kasih sayang dan ukhwah Islamiyah tetap kekal dan umat kita pasti mengukuh satu hari nanti,” katanya.

Terdahulu, Ustaz Abdullah Zaik sempat meraikan pembentang Wacana Kesatuan Umat Islam dalam sebuah majlis makan malam yang dihadiri Timbalan Rektor Universiti Fatoni dari Thailand, Asst Prof. Dr Ahmad Omar Chapakia; Ketua Umum Wahdah dari Indonesia, K.H Dr. Muhammad Zaitun Rasmin; Dr Maad Ahmad (Kemboja); Ketua Umum Hidayatullah dari Indonesia, K.H Dr Nashirul Haq, Dr. Basiron Abdullah (Vietnam) dan NGO Islam dari GASMA dan ACCIN.

Turut hadir Presiden ISMA, Ustaz Shuhaib Ar-Rumy Selamat, Perunding Kanan Hubungan Antarabangsa ISMA, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni dan Perunding Kanan Undang-Undang dan Politik ISMA, Haji Aminuddin Yahaya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button