Dituduh pengkhianat, PAS kata UMNO bodoh tolak penyatuan ummah
'Pilih mengalir dalam air keruh hingga sanggup bersama PH-DAP'

BANGI, 16 Rabiulawal 1445H, Isnin – PAS melihat UMNO semakin terdesak sehingga Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan terpaksa mereka naratif palsu menuduh parti itu pengkhianat.
Membidas kembali tuduhan, Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad mengingatkan semula UMNO bahawa ‘pengkhianat’ inilah yang telah menghulur tangan sewaktu parti itu kalah Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Bahkan, PAS mengelak pertembungan kerusi dengan UMNO dan mengalah demi penyatuan ummah sehingga parti – yang kononnya memperjuangkan Melayu – itu menang satu demi satu Pilihan Raya Kecil (PRK).
“Bagi PAS, kejayaan penyatuan ummah lebih mahal. PAS mengalukan semua yang ingin berkawan atas dasar penyatuan ummah.
“Syarat PAS mudah, penyatuan ummah ini perlu disertai semua parti Melayu dan bukan Melayu yang tidak ekstrem. Inilah penyatuan yang PAS mahukan.
“Dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) kita perjuangkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Idris berkata, formula yang PAS cadangkan adalah Barisan Nasional (BN), Bersatu dan PAS mesti bergabung melawan Pakatan Harapan (PH) dan menang PRU15 dengan pertembungan satu lawan satu.
“Namun UMNO memilih untuk bersikap sombong, ego, bodoh. Dalam PAU (Perhimpunan Agung UMNO) 2020, UMNO menyatakan pendirian tiada kerjasama dengan Bersatu mahupun PAS.
“Dalam PRN Johor, UMNO terus angkuh dan memilih bergerak solo. UMNO juga menolak penyatuan yang kita tawarkan dalam menghadapi PRU15.
“Kononnya parti keramat terbesar orang Melayu itu mampu bergerak sendiri. Hasilnya, UMNO terciduk ditolak rakyat. Tiba-tiba PAS yang salah?,” soalnya.
Bahkan, menurut Ahli Parlimen Bagai Serai itu, dalam keadaan UMNO sekali lagi ditolak rakyat pada PRU15 lalu, PAS masih terus membuka pintu kerjasama dengan parti berkenaan.
“PAS tetap ingin teruskan agenda penyatuan ummah dengan UMNO yang jernih. Sedangkan UMNO memilih untuk tetap mengalir dalam air yang keruh sehingga sanggup bersama PH-DAP.
“Sedarlah. UMNO bukan kalah kerana PAS tetapi kerana pimpinan UMNO yang lupa diri. Kerana Presiden UMNO yang pentingkan diri. Ahli UMNO perlu sedar perkara ini,” katanya.