Hanya ada ID khas boleh beli minyak masak paket
Mahu sasar kepada mereka yang layak sahaja

BANGI, 16 Rabiulawal 1445H, Isnin – Pembelian minyak masak paket bersubsidi hanya akan dijual kepada mereka tertentu sahaja menerusi mekanisme pengenalan khas (ID) yang akan diperkenalkan dalam masa terdekat.
Timbalan Menteri Kemeterian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, langkah berkenaan bagi mengelakkan penjualan kepada yang tidak sepatutnya dan tidak layak.
“Dengan subsidi bersasar hanya yang ada ID dan disahkan sahaja layak sahaja boleh dapatkan minyak masak yang paket bersubsidi ini.
“Kita mahu sasarkan kepada yang memerlukan supaya tidak berlaku penjualan kepada yang tidak sepatutnya.
“Ketika ini 60 juta paket minyak masak bersubsidi dikeluarkan setiap bulan, akan tetapi aduan diterima ialah tidak boleh didapati di pasaran kerana selalu habis,” katanya dalam kenyataan.
Julai lalu, Fuziah menyatakan akan melaksanakan kaedah pembelian minyak masak paket kepada kumpulan sasar mulai tahun depan dan seramai 5.8 juta isi rumah daripada golongan M40 dan B40 sudah dikenal pasti dan layak berada dalam kumpulan itu.
Beliau pada masa sama menjelaskan keputusan kerajaan tidak menggunakan aplikasi Mysejahtera atau kad pengenalan dalam penentuan pemberian subsidi berikutan aplikasi tersebut tidak boleh membezakan pengelasan isi rumah.
“Keperluan keluarga tak sama dengan keperluan peniaga kecil. Dan juga golongan T20 tak layak terima subsidi minyak masak peket.
“Jadi, penggunaan MySejahtera tak boleh digunakan sebab tak tahu dia T20 atau tak,” katanya.