
KAHERAH, 16 Rabiulawal 1445H, Isnin – Puluhan cedera dalam kebakaran yang melanda sebuah balai polis di bandar Ismailia Mesir pada pagi Isnin.
Menurut saksi dan media tempatan, kebakaran yang bermula sekitar jam 3 pagi (GMT) berjaya dikawal kira-kira jam 5.20 pagi (GMT).
Kementerian Kesihatan berkata, sekurang-kurangnya 38 orang cedera dalam kebakaran itu.
Jurucakapnya, Hossam Abdel-Ghaffar berkata, sekurang-kurangnya 12 daripada mangsa yang cedera dirawat di lokasi, manakala 26 yang lain dibawa ke hospital.
Menurutnya, ramai yang menderita akibat terhidu asap.
Tujuh daripada yang cedera telah dirawat dan dibenarkan pulang.
Video yang tidak disahkan disiarkan di media sosial menunjukkan direktorat keselamatan bandar itu diselubungi api.
Dua saksi berkata, jentera bomba yang sebelum itu tiba di tempat kejadian kelihatan bergelut untuk mengawal kebakaran.
Tidak dapat disahkan sama ada terdapat sebarang kemalangan jiwa.
Sumber pertahanan awam tempatan berkata, bahagian bangunan itu runtuh.
Punca kebakaran belum dikenal pasti. – Agensi