TH tubuh task force bincang proses serah semula aset
Kepentingan kerajaan, pendeposit jadi keutamaan

KUALA LUMPUR, 16 Rabiulawal 1445H, Isnin – Lembaga Tabung Haji (TH) akan menubuhkan pasukan petugas khas (task force) bagi meneruskan perbincangan terperinci dengan Kementerian Kewangan (MOF) berkaitan proses penyerahan semula aset.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kepentingan kerajaan dan pendeposit menjadi keutamaan dalam perbincangan.
Beliau memaklumkan, TH dan MOF telah memulakan perbincangan secara tidak rasmi pada Jumaat lepas.
Susulan itu, TH akan membentuk task force yang akan membincangkan perkara ini secara terperinci.
“Prosesnya akan diketahui selepas perbincangan itu sebab perlu kenal pasti aset-aset terlibat dan nilai semua perkara.
“Saya yakin bahagian pelaburan TH akan mainkan peranan penting dalam perbincangan ini,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan akan menyerahkan semula aset TH yang diletakkan di bawah Syarikat Bertujuan Khas (SPV) MOF.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas MOF berpuas hati dengan isu pengurusan dan tata kelola yang berbangkit sebelum ini, selain prestasi kewangan TH yang terus memulih, khususnya selepas bergelut isu kepincangan sebelum ini.
Katanya, pemulangan aset itu akan dilaksanakan secara berperingkat.