Dunia

1,006 maut akibat denggi di Bangladesh

Jumlah paling teruk direkodkan, tertinggi sejak tahun 2000

DHAKA, 17 Rabiulawal 1445H, Selasa – Lebih 1,000 kematian akibat penyakit demam denggi dilaporkan di Bangladesh sejak awal tahun ini – jumlah paling teruk direkodkan di negara itu.

Menurut angka rasmi daripada Direktorat Jeneral Perkhidmatan Kesihatan negara, 1,006 orang telah meninggal dunia dan lebih 200,000 kes dilaporkan akibat denggi.

Bekas Pengarah agensi itu, Be-Nazir Ahmed berkata, jumlah kematian setakat tahun ini adalah lebih tinggi daripada sebelumnya sejak 2000, apabila Bangladesh mula merekodkan kes denggi pertama.

“Ia adalah masalah kesihatan yang besar, baik di Bangladesh dan di dunia,” katanya.

Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, bulan lalu wabak itu memberi tekanan besar kepada sistem kesihatan di Bangladesh.

Denggi adalah penyakit endemik di kawasan tropika yang menyebabkan simptom demam panas, sakit kepala, loya, munta, sakit otot dan boleh menjadi serius sehingga berlaku pendarahan yang membawa kematian.

WHO telah memberi amaran bahawa denggi – dan penyakit lain yang disebabkan oleh virus bawaan nyamuk seperti chikungunya, demam kuning dan Zika – merebak lebih cepat disebabkan perubahan iklim. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button