Jerebu: Sekolah ditutup serta-merta jika IPU lebih 200
Murid dinasihat pakai pelitup muka, minum air lebih kerap

BANGI, 17 Rabiulawal 1445H, Selasa – Sekolah hendaklah menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah, menangguhkan aktiviti keramaian dan sukan luar bangunan yang membabitkan semua murid jika bacaan indeks pencemar udara (IPU) melebihi 100.
Perkara itu antara ketetapan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan menerusi garis panduan institusi pendidikan KPM menghadapi fenomena jerebu.
KPM dalam kenyataan di Facebook berkata, pihaknya mengambil perhatian keadaan jerebu yang sedang melanda dan bacaan IPU tidak sihat di beberapa kawasan seluruh negara.
“Sehubungan dengan itu, jabatan pendidikan negeri (JPN), pejabat pendidikan daerah (PPD) dan sekolah diminta untuk mengambil langkah pencegahan sewajarnya bagi menjaga aspek kebajikan, keselamatan dan kesihatan murid-murid, guru dan seluruh warga sekolah.
“Semua pihak diminta untuk merujuk kepada Surat Peringatan Berkaitan Persediaan Sekolah Berhubung Penjagaan Kebajikan, Kesihatan dan Keselamatan Murid Semasa Menghadapi Cuaca Panas dan Jerebu bertarikh 26 April 2023 dan Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bil.1/2019: Langkah-Langkah Kementerian Pendidikan Malaysia bagi Menjamin Kesihatan dan Keselamatan Murid di Sekolah Yang Berada Dalam Kawasan Jerebu Yang Dianggap Kritikal bertarikh 15 Januari 2019,” katanya.
Menurut garis panduan itu, semua sekolah yang berada dalam kawasan atau daerah dengan bacaan IPU melebihi 200, hendaklah ditutup serta-merta.
“Pengetua/guru besar hendaklah memastikan guru membuat tugasa sewajarnya di sekolah semasa sekolah ditutup jika guru tidak diberi cuti selaras dengan peruntukan dalam Surat Siaran Bil.8/2016: Garis Panduan Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran Akibat Bencana bertarikh 21 Julai 2016.
“Jika bacaan IPU melebihi 500, guru dan kakitangan tidak perlu hadir ke sekolah,” menurut garis panduan.
Garis panduan itu menyatakan, pembukaan semua sekolah adalah bergantung kepada bacaan IPU di bawah 200, dan pihak sekolah hendaklah sentiasa mengikuti perkembangan semasa melalui media massa mengenai fenomena jerebu di kawasan atau daerah masing-masing supaya mudah untuk mengambil tindakan.
Katanya, pihak sekolah boleh melihat terus bacaan IPU dan keadaan terkini status udara melalui laman portal JAS di https://apims.doe.gov.my/home.html.
“Murid-murid dinasihatkan memakai pelitup muka dan meminum air dengan kerap.
“Pihak sekolah hendaklah merujuk murid-murid yang didapati tidak sihat kepada ibu bapa atau penjaga dengan kadar segera,” katanya.