PAS belum putuskan calon bertanding di PRK Kemaman
Tidak pernah anggap mana-mana kerusi ditandingi mudah dimenangi

KUALA TERENGGANU, 17 Rabiulawal 1445H, Selasa – PAS belum memutuskan calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman susulan keputusan untuk tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan petisyen pilihan raya bagi Parlimen berkenaan.
Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagaimanapun berkata, pihaknya bersedia untuk menghadapi PRK yang bakal diadakan nanti.
“Kita bersedia untuk menyertai PRK dan kita belum buat keputusan (kekalkan calon yang sama atau tukar),” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, PAS tidak pernah menganggap mana-mana kerusi ditandingi termasuk Ru Rendang mudah dimenangi.
“Mana yang ada kita anggap satu medan untuk bekerja keras dan bekerja sepenuh hati daripada jentera.
“Saya percaya rakyat yang berada di kawasan itu (Kemaman) juga teruja untuk memberi kemenangan pada calon PAS pada pilihan raya ini,” katanya.
Terdahulu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan, pihaknya tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan petisyen pilihan raya bagi Parlimen Kemaman.
Keputusan itu dibuat susulan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Anselm Charles Fernandis mengesahkan terdapat unsur rasuah bagi pilihan raya Parlimen berkenaan, namun tidak menamakan mana-mana pihak.
Berikutan itu, Takiyuddin berkata, PAS kini menunggu dan bersiap sedia untuk mengambil langkah selanjutnya.
“PAS akan akur dengan ketetapan yang akan dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu itu,” katanya.
Pada 26 September lalu, Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamidi yang mewakili PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Anselm Charles Fernandis membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen pilihan raya yang dikemukakan pengundi bagi Parlimen Kemaman, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil.
Menurut peguam, Amin Othman yang mewakili Wan Mohamad Hisham selaku pempetisyen, hakim membuat keputusan itu selepas mendapati pempetisyen berjaya membuktikan elemen rasuah yang bertujuan mempengaruhi pengundi dalam keputusan pilihan raya bagi kerusi Parlimen berkenaan.