Pengecualian visa: Apa jaminan isu 1.2 juta pelancong China ‘hilang’ tak berulang?
'Patutnya kerajaan makin tegas, bukan makin longgar'

BANGI, 17 Rabiulawal 1445H, Selasa – Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) meragui cadangan kerajaan memberikan pengecualian visa kepada pelancong China, tatkala isu seramai 1.2 juta daripada mereka yang dilaporkan tiada rekod keluar dari negara ini masih belum diselesaikan.
Bimbang dengan pelaksanaan itu, Perunding Kanan Politik dan Perundangan ISMA, Haji Aminuddin Yahaya menuntut kerajaan khususnya Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing memberi jaminan supaya isu sama tidak berulang, sekiranya pelancong China diberikan manfaat pengecualian visa.
“Kalian ingat lagi menteri yang tular marah-marah staf Imigresen demi ‘menyelamatkan’ seorang pelancong negara China yang ditahan beberapa bulan lepas?
“Kini timbul pula isu baru mengenai menteri sama, berkaitan dengan negara sama iaitu China. Kali ini beliau cadang untuk kecualikan visa untuk pelancong China, yang dianggap sebagai ‘karpet merah’.
“Macam makin menjadi betul juga label diberikan sebahagian pihak kepada Tiong King Sing, iaitu Menteri Khas Negara China. Memang kalau nama beliau keluar media, mesti ‘backup’ pelancong China sahaja,” katanya dalam kenyataan.
Aminuddin berkata demikian sebagai mengulas laporan media berhubung pengecualian visa untuk pelancong China yang diumumkan King Sing, minggu lalu.
King Sing dilaporkan berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menghasilkan satu laporan berkenaan pengecualian visa untuk pelancong China.
“Saya melihat ini sebagai polisi yang baik kerana dapat menarik lebih ramai pelancong China untuk melawat Malaysia,” kata King Sing.
Mengulas perkara itu, Aminuddin menegaskan Malaysia tidak mempunyai halangan untuk pelancong China melawat negara, namun biarlah layanan itu berkadar dan sama rata dengan pelawat dari negara-negara lain.
“Takkanlah sampai nak bagi ‘karpet merah’ pula. Beliau (King Sing) kena ingat isu 1.2 juta pelancong China yang tidak keluar dari negara ini masih tidak selesai. Kenapa perkara ini masih tidak diselesaikan?
“Kerajaan sepatutnya mengambil sikap tegas kerana ini melibatkan keselamatan negara bukan semakin longgar.
“Lucu betul Malaysia kita sekarang. Yang bermasalah itulah yang dibela bermati-matian, tetapi apabila masalah timbul nanti, rakyat pula dipersalahkan. Rosak!,” katanya.