Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Anwar belum ada keputusan rombak Kabinet

Menghadap Agong hanya mesyuarat biasa, tiada kaitan perubahan jemaah menteri

KUALA LUMPUR, 18 Rabiulawal 1445H, Rabu – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau belum mempunyai keputusan berhubung rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan seperti yang diperkatakan sesetengah pihak.

Anwar turut menjelaskan tujuan beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini adalah bagi mesyuarat Pra-Kabinet seperti kebiasaan. 

“Belum (ada keputusan). Tadi saya menghadap Tuanku untuk bincang mesyuarat Kabinet esok.

“Tiada kaitan lagi dengan perubahan Jemaah Menteri. Esok lepas (mesyuarat) Kabinet saya ke Sabah dan (kemudian) ke Abu Dhabi,” katanya ketika ditemui media selepas majlis penutup Khazanah Megatrends Forum 2023 di sini semalam.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan Perdana Menteri dijangka mengumumkan rombakan Kabinet selepas mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.

Ditanya mengenai situasi jerebu melanda beberapa negeri ketika ini, Anwar berkata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad diarahkan supaya mengkoordinasi dengan rakan sejawatnya dalam ASEAN termasuk Indonesia untuk menangani jerebu rentas sempadan.

Semalam, Nik Nazmi mengesahkan tiada kebakaran berlaku baru-baru ini yang boleh dikaitkan dengan situasi jerebu melanda negara ketika ini, namun data Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Meteorologi menunjukkan ada berlaku pembakaran di luar negara.

Operasi pembenihan awan (OPA) dalam negara juga akan dilakukan sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 150 bagi tempoh melebihi 24 jam.

Setakat 5 petang semalam, tiga kawasan mencatat IPU pada paras tidak sihat dengan Nilai, Negeri Sembilan kekal kawasan paling terjejas dengan bacaan IPU 155.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button