Dr Faudzinaim dilantik Mufti Negeri Sembilan
Pelantikan kuat kuasa 1 Oktober lalu menggantikan Mohd Yusof

SEREMBAN, 18 Rabiulawal 1445H, Rabu – Pengerusi Pusat Kajian Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Faudzinaim Badarudin dilantik sebagai Mufti Negeri Sembilan yang baharu.
Mengumumkan perkara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pelantikan Dr Faudzinaim berkuat kuasa 1 Oktober lalu bagi menggantikan Datuk Mohd Yusof Ahmad yang bersara.
“Tahniah diucapkan kepada Profesor Madya Dr Faudzinaim di atas pelantikan sebagai Mufti Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan.
Aminuddin berkata, Dr Faudzinaim adalah Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Jawatankuasa Fatwa Negeri dan Jilsah Turuq Sufiyyah Negeri Sembilan.
Beliau berkelulusan Doktof Falsafah (PhD) dari University of London (1998) dan Ijazah Sarjana di universiti sama (1992), serta Ijazah Sarjana Muda dari UKM (1989).
“Dengan kelayakan dan kepakaran dalam bidang bidang akidah dan kesufian, saya berharap beliau dapat menyumbang kepada pembangunan dakwah Islamiah khususnya bagi penduduk Negeri Sembilan,” katanya.
Dr Faudzinaim, 58, anak kelahiran Tanjong Ipoh, Kuala Pilah mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Mohd Said di Seremban dan melanjutkan pelajaran di UKM, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana Muda Pengajian Islam (Kepujian) Fakulti Pengajian Islam.
Aminuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri berkata, Dr Faudzinaim mempunyai pengalaman kerja yang luas bermula sebagai tutor di Jabatan Pengajian Agama dan Falsafah di Fakulti Pengajian Islam UKM.
Beliau berkata, Dr Faudzinaim kemudiannya melanjutkan pengajian peringkat Sarjana di University of London (1991-1992) dan PhD dari School of Oriental and African Studies dari 1992 hingga 1998.
“Faudzinaim memulakan perkhidmatan sebagai tutor di Jabatan Pengajian Agama dan Falsafah di Fakulti Pengajian Islam UKM, dan kemudiannya sebagai pensyarah di jabatan yang sama, akhirnya menjawat jawatan pensyarah kanan bermula 1 Februari 2005.
“Beliau kemudiannya menyandang jawatan Profesor Madya di Jabatan Pengajian Agama dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam UKM, mulai 2007.
“Kami mendoakan semoga beliau berjaya dalam perkhidmatannya, dan semoga beliau menjalankan tugas yang diamanahkan dengan penuh keikhlasan untuk Negeri Sembilan tercinta,” katanya.