Berita UtamaDunia

Serangan RSF di Khartoum bunuh 10 orang awam

Tembakan artileri sasar masjid, pusat kesihatan dan rumah

KHARTOUM, 18 Rabiulawal 1445H, Rabu – Kumpulan separa tentera, Pasukan Sokongan Pantas (RSF) menyerang sebuah masjid dan bangunan awam lain di ibu negara Sudan, sehingga mengakibatkan kira-kira 10 orang terbunuh.

Serangan itu adalah insiden terbaharu membabitkan ramai orang awam terbunuh di Khartoum selama hampir enam bulan, susulan pertempuran antara Ketua Tentera Sudan, Abdel Fattah al-Burhan dan bekas timbalannya, Mohamed Hamdan Daglo – yang memimpin RSF.

Jawatankuasa Penentangan Tempatan berkata, 10 orang awam terbunuh dan 11 cedera dalam tembakan artileri RSF di kawasan kejiranan Al-Samrab, di seberang sungai Blue Nile ke utara pusat Khartoum.

Jawatankuasa itu adalah salah satu daripada kumpulan yang pernah menganjurkan protes pro-demokrasi dan kini memberi bantuan ketika perang.

“Beberapa peluru menghentam masjid, pusat kesihatan dan rumah penduduk,” kata jawatankuasa itu menerusi panggilan telefon kepada AFP di bandar timur Pelabuhan Sudan.

Pada 12 September lalu, sumber perubatan memberitahu bahawa 17 orang awam terbunuh oleh paramilitari di utara Khartoum, yang mana saksi melaporkan serangan RSF.

Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volker Turk berkata, serangan berlaku dua hari selepas sekurang-kurangnya 51 orang terbunuh dan puluhan cedera dalam serangan udara di pasar selatan Khartoum.

Keganasan buruk tertumpu di Khartoum dan wilayah barat Darfur, malah Kordofan Utara – persimpangan antara ibu kota dan Darfur – yang turut menyaksikan pertempuran.

Hampir 7,500 orang dilaporkan terbunuh dalam perang yang tercetus pada 15 April, menurut anggaran konservatif daripada Projek Data Lokasi Konflik Bersenjata dan Peristiwa.

Laporan PBB mendedahkan, pertempuran itu menyebabkan hampir 4.3 juta orang di Sudan kehilangan tempat tinggal, selain kira-kira 1.2 juta lagi melarikan diri merentasi sempadan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button