Berita Utama

Gesa SPR pantau jika aset kerajaan diguna dalam kempen Pelangai

Buat juga pemantauan pemberian 'durian runtuh’ pada rakyat

BANGI, 19 Rabiulawal 1445H, Khamis – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa memantau penggunaan jentera dan aset kerajaan yang menyalahi peraturan sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

SPR juga perlu memantau pemberian insentif kepada kerajaan sama ada oleh kerajaan negeri atau Kerajaan Pusat kepada rakyat sepanjang kempen berlangsung, kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Pertama sekali kita desak pihak SPR untuk mengawasi penggunaan jentera kerajaan dan aset-aset kerajaan dalam tempoh kempen pilihan raya ini.

“Nampaknya ia berlaku secara berleluasa dan jelas bercanggah dengaan peraturan yang ada,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau berharap SPR memandang serius perkara berkenaan dan mengambil tanggungjawab tersebut dengan tindakan sewajarnya.

“Kita harapkan pihak pemantau juga perlu membuat laporan segera kepada SPR. Kita juga harapkan SPR mengambil tindakan yang sesuai.

“Selain penggunaan jentera kerajaan serta kehadiran pegawai-pegawai agensi kerajaan negeri, perlu juga pemantauan bagi pemberian insentif ‘durian runtuh’ kepada rakyat yang akan membuang undi nanti,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh menetapkan tarikh 7 Oktober 2023 sebagai hari mengundi.

PRK DUN Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun, 53, akibat nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.

Seramai 16,456 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 36 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button