Berita UtamaDunia

Pakistan arahkan pendatang asing tinggalkan negara itu sebelum 1 November

4.4 juta rakyat Afghanistan berada di Pakistan ketika ini

ISLAMABAD, 19 Rabiulawal 1445H, Khamis – Pakistan memberi amaran kepada ribuan pendatang asing supaya meninggalkan negara itu sebelum 1 November depan.

Peringatan dibuat susulan tragedi pengebom berani mati minggu lalu yang mengorbankan nyawa 59 penduduk.

Pakistan menyalahkan kumpulan pengganas yang mempunyai kaitan dengan Taliban – yang didakwa terbabit dalam serangan tersebut.

Menteri Dalam Negeri, Sarfraz Bugti berkata, pendatang tanpa izin yang kekal berada di negara itu sehingga tarikh berkenaan akan berdepan masalah besar.

Katanya, kesemua mereka akan ditahan dan dihantar pulang serta harta mereka akan dirampas.

Dalam pada itu, jurucakap Taliban Zabihullah Mujahid pula berkata, tindakan menghalau pelarian Afghanistan adalah perbuatan yang tidak boleh diterima.

Beliau mempertahankan bahawa rakyat Afghanistan tidak terlibat dalam masalah keselamatan Pakistan.

Sehingga kini, kira-kira 4.4 juta rakyat Afghanistan berada di Pakistan, bersamaan dengan lebih 10 daripada penduduk Afghanistan sendiri.

Bagaimanapun, ramai rakyat Afghanistan tinggal di negara itu selama beberapa dekad, dan mempunyai status pelarian rasmi – yang mana mereka diberitahu supaya tidak takut ditangkap.

Sebaliknya, kedutaan Afghanistan di Islamabad berkata, lebih 1,000 warga Afghanistan telah ditangkap dua minggu lalu, dengan kira-kira separuh daripada itu mempunyai hak untuk berada di Pakistan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button