Pendapat
Sistem nilai wanita hari ini – sekilas pandang
Individu yang terpesong agama akan hilang arah tuju di muka bumi

TIDAK ada mana-mana sistem dan peraturan hidup untuk manusia yang paling cemerlang selain Islam dalam menentukan rujukan, kerangka akhlak dan nilai-nilai kewanitaan.
Al-Quran sebagai sebuah kitab yang komprehensif yang diwahyukan dan diucapkan melalui lisan Rasulullah SAW telah mengungkapkan beberapa petikan peristiwa mengenai sistem nilai yang berlaku di zaman silam untuk perhatian umat masa kini dan akan datang.
Berikut adalah antara petikan-petikan tersebut:
Pertama.
“Dan janganlah mereka menghentakkan kaki agar diketahui perhiasan yang tersembunyi”.
(Surah An-Nur ayat 31).
Zaman dahulu: Tidak ada sebarang media sosial ataupun kaedah pemasaran untuk mempromosi diri dan penampilan identiti. Yang ada hanyalah perhiasan yang lazimnya dipakai oleh para wanita. Yang ada cuma gelang di kaki yang akan bergemerincing setiap kali kaki dihentakkan. Dari bunyian nyaring gelang kaki tersebut, para penonton akan disajikan dengan juadah dan santapan berbentuk “perhiasan” yang lazimnya tersembunyi dari pandangan umum khususnya lelaki.
Hari ini: TikTok, Facebook, Instagram dan Twitter sudah menjadi pilihan utama untuk “menonjolkan” aset-aset dan “perhiasan” dalaman ramai wanita Melayu/Muslim. Papan-papan tanda iklan (Billboard) sepanjang jalinan lebuhraya sering menampilkan (baca: mengeksploitasi) imej wanita (Melayu khususnya) untuk mempromosikan produk-produk yang tiada kaitan secara langsung dengan wanita. Media-media hiburan (melalui stesen dan portal TV maya) sering menayangkan imej-imej wanita separuh telanjang, drama-drama melibatkan pelakon dan artis Melayu yang sudah kehilangan ciri-ciri kepatuhan kepada ajaran agama Islam.
Kedua.
“Dan (sesudah itu) wanita-wanita di bandar Mesir berkata: Isteri Al-Aziz itu memujuk hambanya (Yusuf) berkehendakkan dirinya, sesungguhnya cintanya itu sudahlah meresap ke dalam lipatan hatinya; sesungguhnya kami memandangnya berada dalam kesesatan yang nyata.
(Surah Yusuf Ayat 30).
Zaman dahulu: Wanita-wanita di bandar Mesir terdiri dari kalangan isteri-isteri pembesar, hartawan, kelas elit, bangsawan dan kayangan di zaman itu. Mereka sering berkumpul dalam majlis-majlis keramaian, acara-acara rasmi negara, jabatan atau kementerian dan lazimnya topik-topik yang diperbualkan hanyalah di sekitar cara hidup bermewah dan bersalut hawa nafsu serta mengekalkan status sosial masing-masing.
Dalam kes di atas, insiden yang berlaku antara isteri Al Aziz dan Nabi Yusuf (‘a.s) menjadi isu yang viral di kalangan para wanita kelas atasan dan isu inilah yang topik hangat untuk mereka ‘membawang’. Tindakan merayu dan menggoda seorang lelaki asing yang tampan dan muda tidak dianggap sebagai satu amalan keji atau terkutuk mengikut nilai sosial di zaman itu. Ia hanya dipandang serong kalau perbuatan tersebut menjadi melampau dan berlebih-lebihan sehingga menguasai dan mempengaruhi status seseorang wanita, lebih-lebih lagi beliau adalah isteri seorang lelaki yang berjawatan tinggi dalam masyarakat.
Hari ini: Gejala pelampiasan hawa nafsu yang sangat sinonim dengan para wanita bangsawan di zaman Nabi Yusuf (‘a.s) telah meresapi kaum lelaki (khususnya yang kaya, berpangkat dan tinggi status mereka di dalam masyarakat pada hari ini. Apa yang sekarang dikenali sebagai ‘Sugar Daddy’ hanyalah satu percerminan kepada sistem nilai yang telah rosak, yang lebih dahsyat daripada kerosakan yang berlaku di zaman Nabi Yusuf (‘a.s). Wang boleh membeli kegadisan seseorag wanita muda. Penzinaan, bertukar pasangan, skandal dan hubungan seks yang menyimpang sudah menjadi satu cara hidup alternatif kepada masyarakat kelas elit hari ini. Kehormatan dan maruah diri pula sangat mudah diperniagakan secara maya tanpa digamit dengan sekelumit rasa malu atau berdosa.
Ketiga:
Kemudian baliklah ia kepada kaumnya dengan mendokong anaknya, mereka pun menempelaknya dengan berkata: “Wahai Maryam! Sesungguhnya engkau telah melakukan suatu perkara yang besar salahnya! Wahai saudara perempuan Harun, bapamu bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, dan ibumu pula bukanlah seorang perempuan jahat!”
(Surah Maryam Ayat 27 – 28).
Zaman dahulu: Maruah dan kehormatan seseorang wanita sangat berkait rapat dengan nama baik dan maruah keluarga. Adalah satu yang sangat mengaibkan bila mana seorang anak gadis menconteng arang ke muka, lebih-lebih lagi sekiranya keluarganya berketurunan mulia, yang terkenal dengan nilai akhlak dan moral yang tinggi. Masyarakat juga tidak akan menerima perbuatan yang memalukan itu, seolah-olah mereka juga turut terkena dengan tempias dari salah laku sumbang ekoran dari perbuatan tersebut.
Dalam ertikata lain, bukan sesuatu yang normal bagi sebuah masyarakat untuk meredai atau membiarkan perbuatan tidak bermoral dan memalukan itu berleluasa dalam masyarakat. Meskipun tidak ada penguatkuasaan undang-undang atau perlaksanaan hukum dari pihak berkuasa, nilai dan pegangan masyarakat sendiri sudah cukup untuk memberi pelajaran dan menginsafkan sang pelaku.
Hari ini: Perbuatan mencarik kehormatan keluarga, gejala keruntuhan akhlak, cara hidup yang menyimpang dari aturan tabii, skandal seks, pelacuran dan unsur-unsur maksiat semakin berleluasa dan sudah menjadi normal dalam masyarakat. Anak-anak gadis yang liar sudah hilang rasa malu atau hormat kepada orang tua, menganggap kuno dan terkebelakang pegangan agama yang diwarisi dari generasi sebelum mereka dan tersangat selesa dengan keruntuhan sendi-sendi kesopanan di sekeliling mereka. Agama dan masyarakat kononnya tidak berhak mencampuri hal ehwal rumahtangga atau menyekat kebebasan ahli-ahli keluarga mereka untuk melakukan apa sahaja, meskipun kesannya akan ditanggung juga oleh masyarakat sekeliling.
Keempat:
Kemudian salah seorang daripada perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu sambil berkata:” Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami”.
(Surah Al-Qasas Ayat 25).
Zaman dahulu: Penampilan dan tingahlaku adalah cerminan kepada kompas akhlak yang mengawal pergerakan anggota tubuh badan. Perasaan malu (haya) para gadis akan menjadikan perawakan mereka sangat peka kepada suasana-suasana dan persekitaran yang toksik, dan mereka akan merasa selesa dan lega dalam ekosistem yang menghormati jatidiri asli mereka. Perasaan malu ini tidak boleh dibuat-buat atau dilakonkan, kerana ia bersifat fitrah kepada seseorang wanita. Justeru itu, salah seorang dari dua wanita yang disebutkan di dalam petikan ayat di atas akan berasa kekok untuk berinteraksi dengan lelaki yang asing, dan sifat ini akan terpancar melalui rasa malu ketika harus berbicara dengan seorang lelaki yang pertama kali dipandang.
Hari ini: Pergaulan bebas telah meranapkan saki baki perasaan malu yang masih wujud dalam diri setiap gadis. Proses kehancuran ini tidak berlaku dalam sekelip masa, tetapi telah bersarang dan berputik sejak bertahun-tahun, bermula dari sistem pendidikan rendah dan menengah yang di dalamnya para pelajar lelaki dan perempuan dihimpunkan dalam satu kelas yang sama. Fenomena ini ditambah dengan percambahan pusat-pusat hiburan, konsert, acara-acara meriah muda mudi, kemudahan-kemudahan gajet dan media sosial serta longgarnya kawalan dan pemantauan dari ibu bapa.
Perkahwinan bukan lagi satu matlamat yang dicita-citakan dan membina keluarga akan dianggap sebagai satu halangan kepada kebebasan untuk bersukaria dengan lelaki pilihan hati. Memiliki anak akan dianggap sebagai beban berat yang harus dipikul, dan sekiranya terlanjur, makan hasil yang semakin membesar itu boleh sahaja dibuang di kawasan-kawasan pelupusan sampah, tandas-tandas atau di atas tangga-tangga masjid – tanpa rasa belas kasihan dan mungkin juga didorong rasa takut akan kesan akibat dari keterlanjuran.
Mereka tidak akan dipersalahkan oleh masyarakat dan bacaan-bacaan statistik yang semakin melonjak berhubung gejala ini sangat menggerunkan.
Catatan akhir.
Apakah yang dapat kita pelajari dari semua petikan sejarah di atas?
Satu pemerhatian yang saya dapat utarakan ialah kerosakan sistem nilai ini tidak berlaku dalam kelompongan (vacuum) atau terpisah dari sistem dan aturan hidup yang berlaku dalam masyarakat. Salah satu punca utama kepada realiti sebegini ialah dominasinya ideologi yang bersifat anti-Tuhan, yang dari situ lahir gerakan hak asasi, kebebasan individu, perjuangan feminisma dan barah sekularisme/atheisma.
Masyarakat yang telah menyisihkan Allah sebagai Pengatur hidup manusia tidak akan melahirkan anggota-anggota yang patuh dan konsisten dalam mempraktikkan ajaran agama. Sistem hidup yang berpaksi kepada hawa nafsu tidak akan mencipta sistem nilai atau aturan akhlak dan moral yang boleh mengawal dan mengemudi jiwa, hati dan perasaan individu pada landasan yang bersifat tabii dan fitrah.
Individu yang telah rosak nilainya, hancur pegangan agamanya, pincang sistem akhlaknya, keliru kompas hidupnya dan terpesong tujuan keberadaannya di muka bumi … tidak akan mudah untuk melepaskan diri dari rantai yang sedang membelenggunya dalam penjara hawa nafsu.
Mereka yang terpenjara ini akan menikmati kebebasan apabila jiwa mereka dimerdekakan, dibimbing kembali untuk memahami dan menginsafi hubungannya dengan Sang Pencipta, supaya tunduk dan patuh kepada kehendakNya, melemparkan debu-debu kelalaian dan kecuaian serta menekuni jalan-jalan yang membawa kepada keredaanNya.
Mohd Luttfi Abdul Khalid
Penasihat Persatuan Ikatan Sivil Dan Syariah Malaysia (iPeguam)
Penasihat Persatuan Ikatan Sivil Dan Syariah Malaysia (iPeguam)
Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.