Hamzah puji PM Thailand berjaya turunkan harga lebih 150,000 barangan
‘Inilah beza seseorang yang tahu buat kerja berbanding hanya pandai cakap’

BANGI, 20 Rabiulawal 1445H, Jumaat – Malaysia wajar mencontohi langkah Perdana Menteri Thailand yang bersedia menurunkan harga barangan keperluan rakyat sehingga 87 peratus termasuklah beras selepas tiga bulan berkuasa.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, meskipun Srettha Thavisin baru memimpin negara itu penghujung Ogos lalu, namun beliau tekad melakukan perubahan terbaik untuk rakyat dan negara tanpa perlu berjanji selain tidak menuding jari.
“Di Malaysia walaupun kerajaan berjanji menyelesaikan kenaikan harga barang dalam masa dua minggu tapi sampai sekarang tak kunjung selesai.
“Kini masalah bekalan beras dan gula pula melanda. Ringgit menjunam dan terus menjunam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, pemimpin utama Thailand berusia 61 tahun dilaporkan menurunkan harga 151,676 barangan keperluan rakyat sehingga 87 peratus serta merta.
Ahli Parlimen Larut itu berkata, tindakan yang dilakukan Thavisin adalah bukti tindakan pemimpin yang hebat dan tahu menjaga kebajikan rakyat serta melakukan yang terbaik demi negaranya.
“Inilah bezanya bila seseorang yang tahu buat kerja memimpin negara berbanding seseorang yang sekadar pandai cakap saja,” katanya.
Justeru, katanya, rakyat Malaysia perlu menghayati pedoman orang lama.
Terdahulu, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) berkongsi pantun empat kerat berkait pemilihan individu yang bergelar pemimipin.
Pantun Melayu tersebut mengingatkan bagaimana untuk memilih seorang pemimpin dan ciri-ciri seorang yang diperlukan.
“Kalau hendak memilih cincin, pilih cincin seukuran jari, kalau hendak memilih pemimpin, pilih pemimpin tahukan diri,” kongsinya.
3 Oktober lalu, Bangkok Post melaporkan harga lebih daripada 150,000 produk dan perkhidmatan akan dipotong sebanyak 87 peratus berkuat kuasa serta-merta, sehingga akhir Disember.
Sebanyak 288 pengusaha perniagaan bersetuju menurunkan harga barangan dan perkhidmatan mereka meliputi 151,676 barangan di seluruh negara selama tiga bulan sehingga 31 Disember.