Iraq haram pengeluaran tunai, urus niaga dolar AS mulai tahun depan
Kekang salah guna rizab mata wang asing dalam jenayah kewangan

BAGHDAD, 20 Rabiulawal 1445H, Jumaat – Iraq akan mengharamkan pengeluaran tunai dan urus niaga dalam mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) mulai 1 Januari 2024, lapor agensi berita Reuters.
Langkah itu dibuat dalam usaha mengekang penyalahgunaan rizab mata wang asing dalam jenayah kewangan dan mengelakkan sekatan AS ke atas Iran.
Ketua Pengarah Pelaburan dan Kiriman Wang di Bank Pusat Iraq (CBI), Mazen Ahmed berkata, langkah itu bertujuan menghapuskan penggunaan haram kira-kira 50 peratus daripada AS$10 bilion yang diimport Iraq secara tunai daripada Rizab Persekutuan New York setiap tahun.
Katanya, ia juga adalah sebahagian daripada usaha meluas untuk mengurangkan ekonomi yang menyaksikan dolar AS lebih diutamakan berbanding mata wang tempatan oleh sebilangan penduduk terkesan peperangan dan krisis yang berulang selepas pencerobohan AS pada 2003.
“Individu yang mendepositkan dolar ke bank sebelum akhir 2023 akan terus dapat mengeluarkan dana itu dalam dolar pada 2024.
“Tetapi, dolar yang disimpan pada 2024 hanya boleh dikeluarkan dalam mata wang tempatan pada kadar rasmi 1,320 dinar,” katanya.
Kadar pasaran selari dinar Iraq – berada pada 1,560 dinar pada Khamis – kira-kira 15 peratus di bawah kadar rasmi.
“Jika mahu pindahkan. Buat pemindahan. Anda mahu kad dalam dolar? Di sini, anda boleh menggunakan kad di dalam Iraq pada kadar rasmi, atau jika anda ingin mengeluarkan tunai, boleh pada kadar rasmi dalam dinar.
“Tetapi jangan bercakap dengan saya mengenai dolar tunai lagi,” kata Mazen.
Sementara itu, Penyata Bank Pusat berkata, larangan pengeluaran dolar tunai hanya akan dikenakan kepada akaun yang menerima pemindahan daripada luar negara.
Iraq telah menyediakan platform untuk mengawal selia pemindahan wayar yang membentuk sebahagian besar permintaan dolar, yang dahulunya menjadi ‘sarang’ resit palsu dan transaksi penipuan bagi menyedut dolar ke Iran serta Syria – kedua-dua negara di bawah sekatan AS. – Agensi