Berita Utama

‘Kartel beras perlu disebat’

Denda sahaja tak memadai, kerajaan perlu segera pinda undang-undang lebih keras

BANGI, 20 Rabiulawal 1445H, Jumaat – Kerajaan Madani digesa mengenakan hukuman yang lebih tegas terhadap kartel-kartel beras yang didakwa wujud di negara ini.

Pengerusi Biro Pertanian, Membasmi Kemiskinan dan Aduan Awam PUTRA, Datuk Asmawar Samat berkata, hal demikian penting berikutan hukuman sedia ada tidak memadai.

Individu atau syarikat dalam rantaian bekalan beras putih tempatan yang dikenal pasti memanipulasi bekalan barangan itu boleh dikenakan tindakan perundangan mengikut Akta Perihal Dagangan 2001 (Akta 703).

Mana-mana pihak didapati membuat perihal dagangan palsu mengenai kandungan, jenis atau nama boleh didakwa mengikut Seksyen 5 Akta 730 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000, penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi orang perseorangan jika sabit kesalahan.

Seksyen berkenaan turut memperuntukkan hukuman denda sehingga RM250,000 bagi syarikat jika sabit kesalahan sama.

Melihat kepada tindakan perundangan itu, Asmawar berkata, hukuman berbentuk kompaun dan denda sedemikian hakikatnya mampu dilunaskan oleh pihak kartel.

“Isu bekalan beras tidak akan dapat diselesaikan jika kartel yang menguasai dan memanipulasi perniagaan tidak ditumpaskan.

“Hakikatnya, sekian lama pihak kartel telah menguasai bekalan beras melalui pengilang, pembungkus, pemborong dan peniaga.

“Jadi, pihak kartel-kartel yang didapati melakukan kesalahan tersebut perlu dikenakan hukuman yang lebih keras dan berat seperti penjara lima tahun dan sebatan lima rotan secara mandatori,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada ituc Asmawar berkata, penguasaan kartel kini semakin berani hingga menjadikan bekalan beras tempatan ‘hilang’.

Malah, lebih malang apabila EXCO Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim mendedahkan bahawa 70 peratus beras tempatan kini telah dicampur dengan 30 peratus.

Beras dicampur itu dilabel sebagai beras super import yang dijual pada harga hampir RM40

“Jelas kemunculan beras super import adalah bertujuan mencari keuntungan besar dan berlebihan. Sebab itu, di pasaraya dan kedai runcit tiada lagi beras tempatan.

“Perbezaan harga beras import dengan beras tempatan adalah amat ketara. Contohnya, untuk 5 kilo Beras Super Import Sunwhite harganya RM26.99, manakala Beras Tempatan Cap Rambutan Hijau harganya RM12.79.

“Situasi berkenaan memberi kesan terutama kepada golongan berpendapatan rendah seperti B40 dan M40 dan peniaga kecil makanan menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan beras,” katanya.

PUTRA pada masa sama mempersoalkan punca kartel tersebut semakin berani di zaman Kerajaan Madani hari ini, selain hairan DAP hanya membisu tanpa bertindak dalam menangani isu berkenaan.

Justeru, PUTRA mengesyorkan kerajaan segera membuat pindaan undang-undang terhadap permasalahan ini dan menangani masalah rakyat secara telus.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button