Pelaku rasuah zalimi diri sendiri, khianati amanah: Khutbah
Negara bakal runtuh, golongan miskin terus ditindas jika rasuah tak dibendung

BANGI, 20 Rabiulawal 1445H, Jumaat – Khutbah Jumaat hari ini berpesan kepada umat Islam supaya menghindari perbuatan rasuah kerana amalan itu adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerusi khutbahnya menegaskan, individu yang terbabit amalan rasuah bukan hanya mengkhianati amanah, bahkan sebenarnya telah berlaku zalim terhadap diri sendiri dan orang lain.
Ini kerana, pelaku rasuah – pemberi, penerima atau orang tengah – akan bertindak mengubah sesuatu keputusan yang memihak kepada dirinya, dan dalam masa sama menafikan hak orang lain.
“Orang yang dinafikan haknya iaitu orang yang dizalimi ini, doa mereka didengari dan dikabulkan oleh Allah SWT.
“Maka awas dan beringatlah, bahawa lambat laun mereka yang melakukan jenayah rasuah ini tidak akan terlepas daripada balasan atas perbuatan keji mereka. Jika terlepas di dunia, jangan ingat akan terlepas di akhirat,” kata khutbah.
Khutbah menegaskan, perbuatan atau perlakuan jenayah rasuah yang berleluasa dalam kalangan masyarakat akan memberi impak negatif sangat dahsyat sekiranya tidak dibendung.
“Ia boleh menyebabkan keadaan politik tidak stabil, ekonomi tidak terurus, kelola tidak teratur, mengancam keselamatan negara dan penyalahgunaan kuasa berleluasa.
“Kekayaan dikuasai oleh golongan tertentu, yang kaya terus kaya, yang miskin terus miskin ditindas tidak ada pembelaan, maka natijahnya sesebuah negara itu bakal runtuh dan timbul huru-hara akibat jenayah rasuah yang mencengkam umpama api dalam sekam, atau seperti gunting dalam lipatan,” katanya.
Justeru, bersempena ulang tahun ke-56 penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), khutbah menyeru semua pihak untuk bersama memerangi jenayah rasuah di negara ini secara serius, demi memperkasa tadbir urus dan kelola terbaik dalam perkhidmatan kerajaan, agensi badan berkanun, badan swasta serta masyarakat.
“Ini yang dikehendaki dan selaras tuntutan syara’ juga mendukung hasrat kerajaan dalam usaha meningkatkan integriti serta kualiti penyampaian perkhidmatan,” katanya.