Pusat Islam di London dibakar, jadi sasaran vandalisme
Tindakan polis tolak laporan punca serangan kedua berlaku

LONDON, 21 Rabiulawal 1445H, Sabtu – Sebuah pusat Islam berorientasikan wanita dibakar dan menjadi sasaran vandalisme sehingga mencetuskan kebimbangan masyarakat muslim di London.
Sehingga kini, polis masih menyiasat pelaku dan mengenal pasti motif perbuatan khianat ke atas Institut Al-Falah di Hayes, sebuah yayasan amal dan pusat pendidikan untuk golongan wanita.
Selepas mematikan sistem penggera, penyerang yang tidak dikenali telah memecah masuk ke dalam bangunan kira-kira jam 10 malam waktu tempatan pada 26 September lalu.
Suspek kemudiannya merosakkan dinding, kerusi dan permaidani, selain ratusan naskhah al-Quran, kitab dan penerbitan buku agama lain disembur dengan cat berwarna gelap.
Selepas kejadian itu, ahli pusat itu menghubungi polis namun ditolak kononnya pegawai sibuk dan hanya dapat hadir ke tempat kejadian pada keesokan hari.
Bagaimanapun, serangan lain menyusul tidak lama kemudian, membabitkan pembakaran di bangunan sama sehingga merosakkan siling, pintu, dinding, perabot dan buku agama termasuk al-Quran.
Pengerusi Institut Al-Falah, Mariam Tariq berkata, polis seolah-olah sengaja mengetepikan panggilan mereka selepas serangan pertama, atas alasan terlalu sibuk.
“Mereka boleh menghalang kebakaran daripada berlaku sekiranya datang tepat pada masa,” katanya.
Mariam menegaskan, institut itu penting untuk wanita kerana telah menjadi rumah kedua kepada ramai orang sejak ia dibuka pada 2010.
“Institut ini sangat penting bagi kami. Kami wanita berkumpul di sini, membaca al-Quran, ada kelas agama, memasak dan semua orang suka tempat ini,” katanya.
Beliau tidak menolak kemungkinan dua serangan ke atas institut itu mempunyai kaitan dengan Islamofobia, meskipun motifnya masih belum disahkan.- Agensi