Berita Utama

SPRM siasat individu terbabit rasuah, pengubahan wang haram kes 1MDB

Peguam antara didakwa terima wang dilabur dalam sebuah syarikat

KUALA LUMPUR, 21 Rabiulawal 1445H, Sabtu – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat beberapa individu kerana disyaki terlibat dalam rasuah dan pengubahan wang haram semasa usaha pemulihan aset 1Malaysia Development Bhd (1MDB) oleh kerajaan.

Menurut sumber SPRM, seorang daripada mereka merupakan peguam didakwa menerima sejumlah wang yang dikatakan dilaburkan di dalam sebuah syarikat pelaburan tidak berlesen yang pernah diambil tindakan oleh Bank Negara Malaysia pada tahun 2021.

Sumber itu berkata, peguam terlibat juga sebelum ini dikatakan telah dilantik oleh 1MDB bagi menyelesaikan isu aset 1MDB dengan syarikat luar negara.

Menurutnya, pegawai SPRM telah hadir ke firma guaman terlibat hari ini bagi mendapatkan dokumen berkaitan penyiasatan itu.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan siasatan di bawah Akta SPRM 2009 itu serta kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

“SPRM juga menafikan kehadiran pegawainya ke premis peguam tersebut menyalahi mana-mana akta yang berkuat kuasa kerana pihaknya mematuhi peraturan serta menyedari privasi antara peguam terbabit dan klien-kliennya,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button