Berita Utama

Ada menteri tak berfungsi, Anwar perlu rombak Kabinet segera

Pilih tokoh berkaliber, tak perlu pun dari kalangan ahli politik

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin 

BANGI, 22 Rabiulawal 1445H, Ahad – Rombakan Kabinet perlu dilakukan segera kerana terdapat menteri yang gagal melaksanakan tanggungjawab sehingga merencatkan kredibiliti kerajaan campuran pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bertambah rumit apabila isu-isu keperluan asas seperti beras, telur, ayam, minyak termasuk kejatuhan matawang terus menghimpit dan membebankan rakyat. 

Tambahan pula, kekosongan portfolio Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ketika ini menjadi semakin kritikal apabila masih tiada pelantikan penggantinya. 

Atas dasar itu, pemerhati politik, Ibrahim Hassan berpendapat, sewajarnya Perdana Menteri melaksanakan penstrukturan semula bagi menteri dan timbalan menteri yang gagal berfungsi. 

“Misalnya, nama sahaja Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, tetapi makanan tidak terjamin. Keadaan sangat huru hara. 

“Anwar perlu tukar menteri yang tidak ‘perform’, tidak mampu selesaikan masalah utama rakyat dengan segera,” katanya ketika ditemui Ismaweb.net di Karnival Sambutan Maulidur Rasul anjuran bersama ISMA Sepang dan Musolla Ar-Raudhah di Southville City, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tokoh yang mempunyai kepakaran perlu menjadi pilihan utama untuk dilantik ke portfolio penting bagi memastikan mereka mampu menjalankan tugas masing-masing.

Lantikan itu bukan sahaja daripada kalangan ahli politik, bahkan boleh juga diambil tokoh yang mempunyai pengalaman meluas dalam portfolio yang berkaitan, tegasnya.

“Saya yakin ramai tokoh dalam masyarakat kita kalau bukan ahli politik, ahli dalam sesuatu bidang dan juga berkaliber.

“Tan Sri Abdul Wahid Omar, Tan Sri Azman Hashim dilihat mampu untuk menyelesaikan isu sekarang. Macam Menteri Agama (Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar) hari ini pun bukan asalnya ahli politik. Tetapi mampu menerajui portfolionya,” katanya lagi.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai desakan beberapa pihak supaya Anwar melepaskan jawatan Menteri Kewangan, Ustaz Ibrahim bersetuju dan menyifatkan ia sesuatu yang perlu.

“Jawatan sebagai PM sudah cukup besar dan memegang banyak jawatan pada masa sama amat membebankan. 

“Jadi disarankan supaya ada orang lain, pakar dalam masyarakat yang boleh menguruskan kewangan negara untuk dilantik ke jawatan Menteri Kewangan.

“Ini supaya Anwar dapat lebih fokus kepada urusan mentadbir negara, dan mengelakkan konflik kepentingan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button