Jerebu: 13 kawasan catat IPU tidak sihat lebih 150
Bukit Rambai dan Batu Pahat catat bacaan tertinggi dengan IPU 163

BANGI, 23 Rabiulawal 1445H, Isnin – 13 kawasan termasuk di Putrajaya, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat dengan rata-rata melebihi 150 pagi tadi.
Berdasarkan kemas kini laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat jam 12 tengah hari ini kawasan tersebut adalah Cheras (155); Putrajaya (152); Banting (153); Seremban, Negeri Sembilan (152), Port Dickson (155), Bukit Rambai, Melaka (163), Alor Gajah (155), Bandaraya Melaka (155), Segamat (156), Batu Pahat (163), Larkin (156) dan Tangkak (155).
Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).
APIMS turut menunjukkan, kualiti udara di 43 stesen lain adalah sederhana dan hanya empat kawasan iaitu Langkawi, Kimanis, Keningau di Sabah dan Sibu yang berkualiti udara baik.
Data IPU itu dikeluarkan setiap jam, berdasarkan 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara.
Sementara itu, Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) meramalkan akan berlaku peningkatan taburan hujan di wilayah berhampiran garisan Khatulistiwa, sementara cuaca kering dijangka berterusan di selatan dan tengah Sumatera, dan selatan Kalimantan untuk beberapa hari akan datang.
“Titik panas yang tinggi dan jerebu asap sederhana hingga tebal berkemungkinan berterusan di kawasan yang terdedah kepada kebakaran di kawasan ini.
“Risiko jerebu merentas sempadan kekal, dengan angin di selatan Asean diramalkan bertiup terutamanya dari tenggara ke selatan dan kadang-kadang dari barat daya,” katanya.