Berita Utama

Perang Palestin-Israel: Malaysia gesa UNSC ambil tindakan henti keganasan

Hormati, lindungi nyawa orang awam tak bersalah demi keamanan

KUALA LUMPUR, 23 Rabiulawal 1445H, Isnin – Malaysia menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) agar mengambil tindakan segera meminta semua pihak menghentikan segala tindakan keganasan dan pertempuran di Semenanjung Gaza ketika ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia demi menghormati dan melindungi nyawa orang awam yang tidak bersalah, memandangkan ketika ini konflik yang telah berlarutan selama 75 tahun itu menyebabkan banyak nyawa terkorban, ribuan cedera dan kerosakan harta benda. 

“Masyarakat antarabangsa juga hendaklah meningkatkan tekanan ke atas semua pihak untuk mengambil tindakan segera menghentikan pertempuran demi keamanan dan kestabilan serantau,” kata beliau pada sesi penerangan menteri berhubung Perkembangan Semasa Konflik Palestin-Israel di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad Zahid berkata, rakyat Palestin perlu dikembalikan hak mutlak bebas daripada pendudukan haram Israel, hak dikembalikan tanah yang telah dirampas oleh Israel dan hak membentuk sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Katanya ketika ini, Malaysia terbuka dan akan terus menyokong segala usaha konkrit dan realistik untuk mencari jalan penyelesaian yang adil dan berkekalan terhadap konflik Palestin-Israel berdasarkan peruntukan undang-undang antarabangsa dan resolusi UNSC. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button