PN gesa kerajaan usul mesyuarat tergempar OIC kecam pencerobohan Israel
Mesti bertindak pantas, paksa Israel hentikan pelanggaran undang-undang

BANGI, 23 Rabiulawal 1445H, Isnin – Perikatan Nasional (PN) menggesa Kerajaan Malaysia mengambil tindakan segera dengan mengusulkan mesyuarat tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi mengecam pencerobohan Israel selain menzahirkan solidariti kepada rakyat Palestin.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, adalah penting bagi masyarakat antarabangsa berdiri bersama untuk menangani kirisis berkenaan dan berusaha ke arah penyelesaian yang aman dengan menghormati hak rakyat Palestin.
Katanya, PN amat prihatin dengan perkembangan membimbangkan di Semenanjung Gaza akibat keganasan rejim Israel.
“PN mengutuk pencerobohan berulang kali terhadap Masjid al-Aqsa yang ternyata menjadi antara sebab utama peningkatan ketegangan di rantau itu.
“Masyarakat antarabangsa mesti bertindak pantas dan tegas untuk memaksa Israel menghentikan pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terang-terangan.
“Israel mesti menghormati resolusi-resolusi antarabangsa yang telah diputuskan melalui Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan mengakui hak serta sejarah rakyat Palestin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Muhyiddin menegaskan, masyarakat antarabangsa mesti menghalang peristiwa berdarah ini daripada menjadi alasan untuk serangan baharu Israel yang mengancam nyawa ribuan orang awam Palestin di Gaza.
Selain itu, PN mengulangi komitmennya yang tidak berbelah bahagi kepada perjuangan Palestin yang adil dan hak yang sah bagi rakyat Palestin.
“PN dengan tegas menyokong penubuhan negara Palestin merdeka berdasarkan sempadan tahun 1967,” katanya.