Berita Utama

Segera lapor polis jika sertai skim pelaburan ‘Xfox Mix Biz’

Jangan terpedaya promosi janji keuntungan masa singkat

BANGI, 23 Rabiulawal 1445H, Isnin – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa individu yang menyertai skim pelaburan ‘Xfox Mix Biz’ untuk tampil segera membuat laporan di mana-mana balai berhampiran.

Ini selepas Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) menerima satu laporan polis daripada seorang pengadu yang mendakwa nama dan logo syarikatnya digunakan bagi mempromosikan skim pelaburan ‘Xfox Mix Biz’.

Pengarah JSJK, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pengadu menafikan pengetahuan mahupun pembabitan syarikatnya dengan skim pelaburan itu.

“Berdasarkan semakan, setakat ini tiada laporan polis diterima daripada mana-mana individu yang menjadi mangsa skim tersebut.

“Sehubungan itu, pihak PDRM menggesa individu-individu yang telah menyertai skim pelaburan ‘Xfox Mix Biz’ untuk segera tampil membuat laporan polis di mana-mana balai polis berhampiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam usaha membendung sindiket penipuan sebegini, Ramli turut mengingatkan masyarakat untuk tidak terpedaya dengan promosi pelaburan yang menjanjikan keuntungan terlalu lumayan dalam masa singkat.

“Semakan terperinci dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan perlu sentiasa dilakukan sebelum mengambil keputusan untuk menyertai skim pelaburan tertentu.

“Dapatkan nasihat serta maklumat lanjut dari sumber-sumber rasmi seperti National Scam Response Center (NSRC) di talian 997, portal Semak Mule, Alert List Bank Negara Malaysia (BNM) dan Security Comission (SC) sebelum membuat keputusan untuk menyertai skim pelaburan yang meragukan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button