Berita Utama

Taufan al-Aqsa: Semboyan Palestin buat umat Islam seluruh dunia

Hamas tuntut semula hak suci umat Islam di Palestin setelah berdekad dicabuli

BANGI, 23 Rabiulawal 1445H, Isnin – Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Pusat mengecam sekeras-kerasnya tindakan individu atau mana-mana pihak yang menyokong dan bersimpati terhadap apa yang berlaku kepada penduduk haram Israel.

Tanggapan menyatakan tindakan Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) bersifat ekstrem dan kejam merupakan naratif jahat daripada pihak musuh bagi mengaburi mata dunia.

“Kebangkitan ini adalah untuk menuntut semula hak suci umat Islam di Palestin setelah berdekad lamanya dicabuli musuh Islam.

“Sejak semalam, Hamas telah melancarkan Operasi Taufan Al-Aqsa secara mengejut ke atas wilayah Palestin yang dijajah Zionis.

“Al-Qassam telah melancarkan serangan besar-besaran dengan melepaskan puluhan roket ke arah penempatan haram Israel serta peluru mortar di pangkalan tentera mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Hamas setakat ini telah berjaya menawan semula 12 wilayah jajahan Israel termasuk Al Musaddar, Netivot dan ‘Abbasan Al-Jadida serta menangkap rakyat Israel yang terdiri daripada penduduk haram, tentera dan pegawai.

“Ianya bertujuan mendesak pihak musuh supaya menukar tawanan mereka dengan rakyat Palestin yang ditahan secara haram di penjara Israel,” katanya.

Namun Israel telah melancarkan serangan balas dengan memusnahkan sepenuhnya Masjid Al-Amin Muhammad di Khan Yunis, menyerang bangunan kediaman di kawasan kejiranan padat penduduk, tengah Bandar Gaza.

Bukan sekadar itu, Israel juga menggunakan taktik memotong bekalan asas penduduk Gaza seperti bekalan elektrik, bahan api, dan pemindahan barang yang kononnya bagi melemahkan tentera dan Hamas.

Atas dasar itu, PEMBINA yang mewakili mahasiswa menyeru seluruh rakyat Malaysia bersama-sama dengan perjuangan dengan mencadangkan empat perkara termasuklah menyatakan solidariti untuk membebaskan Palestin daripada kekejaman Zionis.

“Umat Islam digalakkan berdoa membaca Qunut Nazilah dan solat hajat memohon pertolongan Allah kepada pejuang di Palestin.

“Kita juga harus berusaha memahami dan cakna tentang isu-isu yang berlaku di Palestin dan juga meningkatkan sumbangan kecemasan kepada agensi yang sah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button