Gaza bergelap tanpa elektrik
Israel hentikan semua bekalan termasuk makanan, ubat-ubatan

GAZA, 24 Rabiulawal 1445H, Selasa – Palestin berdepan krisis baharu apabila Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant mengumumkan bahawa tiada elektrik, makanan, air dan gas akan dibenarkan memasuki Gaza.
Israel turut mengisytiharkan pengepungan sepenuhnya di wilayah itu – yang mana bantuan tidak lagi dihantar di kawasan itu sejak Sabtu.
Gaza dihuni kira-kira 2.3 juta penduduk dan 80 peratus daripada mereka bergantung kepada bantuan kemanusiaaan.
Penduduk kini dalam keadaan bergelap tanpa bekalan elektrik dan dan kemungkinan mereka juga akan berlapar susulan tiada lagi bekalan makanan dan air.
Kerosakan kepada kemudahan air, sanitasi dan kebersihan akibat serangan rejim Israel telah menjejaskan perkhidmatan lebih 400,000 orang.
“Begitu juga dengan loji kuasa Gaza yang satu-satunya sumber elektrik akan kehabisan bahan api dalam beberapa hari,” kata penduduk.
Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stephane Dujarric berkata, Program Makanan Sedunia telah mengagihkan makanan kepada kira-kira 100,000 pelarian dalaman Palestin.
Usaha ini akan meningkat lapan kali ganda dalam tempoh beberapa hari akan datang. – Agensi