Dunia

Gaza terus bermandi darah, lebih 700 rakyat Palestin syahid

Syarikat penerbangan antarabangsa henti perkhidmatan ke Tel Aviv

GAZA, 24 Rabiulawal 1445H, Selasa – Semenanjung Gaza terus bermandi darah selepas Kementerian Kesihatan mengesahkan jumlah korban setakat awal Selasa sudah mencecah 704 orang.

Kementerian memaklumkan, jumlah kematian termasuk 143 kanak-kanak dan 105 wanita, manakala sekitar 4,000 yang lain dilaporkan cedera.

Pesawat perang Israel terus melancarkan serangan udara ke atas sasaran di pelbagai bahagian di Semenanjung Gaza.

Keganasan itu kononnya sebagai membalas serangan roket Hamas, yang menandakan kepada permulaan operasi taufan al-Aqsa terhadap Israel pada Sabtu lalu.

Hamas menegaskan bahawa serangan itu adalah tindak balas kepada pencerobohan rejim ke atas Masjid Al-Aqsa dan keganasan penceroboh Yahudi.

Susulan perkembangan sama, beberapa syarikat penerbangan antarabangsa telah menangguhkan penerbangan yang beroperasi di Tel Aviv berikutan pertempuran berterusan Hamas dan Israel.

Syarikat penerbangan Amerika Syarikat (AS), United Airlines, Delta Airlines dan American Airlines memutuskan untuk menggantung penerbangan terus ke Tel Aviv.

Air France, Lufthansa, Emirates dan Ryanair turut menarik balik penerbangan ke lapangan terbang Ben Gurion di Tel Aviv.

Bagaimanapun, pihak berkuasa lapangan terbang tidak menghentikan hubungan udara komersial dengan lapangan terbang antarabangsa kedua Israel di Eilat.

Syarikat penerbangan Israel, El Al tetap mengekalkan penerbangan Tel Aviv buat masa ini, walaupun beberapa penerbangan yang dikendalikan rakan kongsi asing telah dibatalkan.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button