BERJASA mahu Malaysia jalankan peranan dalam OIC, bela rakyat Palestin
Rakyat Palestin terlalu lama bersabar berdepan tindakan keji, kekejaman Zionis

BANGI, 25 Rabiulawal 1445H, Rabu – Rakyat diseru bersolidariti dan terus memberi sokongan bersama Palestin dalam siri serangan balas terbesar ke atas rejim Zionis Israel yang dilancarkan Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), Sabtu lalu.
Ketua Penerangan BERJASA, Mohd Hamdan Mohd Sharif berkata, sudah tiba masanya masyarakat antarabangsa berdiri mengangkat hak rakyat Palestin ke persidangan antarabangsa.
Beliau menegaskan, Malaysia juga wajib menjalankan peranan di dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk membela rakyat Palestin.
“BERJASA menyeru semua pihak untuk memberi sokongan dan kepada Palestin dalam konflik ini dan mendesak rejim penjajah mengembalikan hak rakyat Palestin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menjelaskan, serangan balas yang dilakukan pejuang Palestin ketika ini adalah tindakan reaktif akibat pencabulan hak asasi manusia yang berterusan dan melampau.
“Ini membuktikan kekejaman penjajah haram tidak mempedulikan apa sahaja perjanjian antarabangsa berkaitan peperangan dan undang-undang kenegaraan apabila mereka turut berterusan merampas tanah dan harta kenegaraan milik rakyat di semenanjung Gaza dan Tebing Barat.
“Rakyat Palestin telah bersabar terlalu lama berhadapan tindakan keji dan kekejaman zionis yang tidak berkesudahan berdekad lamanya,” katanya.
Sehingga kini, sekurang-kurangnya 921 rakyat Palestin syahid dan 4,250 cedera dalam pengeboman Israel.
Situasi berkenaan turut menyebabkan kira-kira 200,000 daripada 2.2 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal dalam pertempuran itu.