Israel ancam bom, trak bantuan Mesir terpaksa berundur
Tel Aviv tutup Semenanjung Gaza, sekat bantuan makanan dan bahan api

GAZA, 25 Rabiulawal 1445H, Rabu – Trak yang membawa bantuan penting, termasuk bahan api dari Mesir ke Semenanjung Gaza terpaksa berundur selepas pengganas Israel mengancam untuk mengebomnya jika memasuki wilayah berkenaan.
Hak Asasi Manusia Sinai memaklumkan, Israel memberi amaran kepada Mesir supaya menarik balik trak bantuan berkenaan ke wilayah yang sedang berperang itu.
Kumpulan hak asasi manusia itu berkata, pihaknya memperoleh rakaman eksklusif yang mengesahkan trak minyak dan bantuan kemanusiaan Mesir disekat daripada akses ke tanah Rafah yang melintasi sempadan.
Ini selepas Israel mengeluarkan amaran kepada pihak berkuasa Mesir bahawa jika ia membawa bekalan bantuan ke Semenanjung, trak itu akan dibom.
Saluran 12 Israel juga melaporkan bahawa negara haram itu telah menghantar mesej ke Mesir berhubung isu penghantaran bantuan.
Ini berlaku sehari selepas Menteri Pertahanan Israel, Yaov Gallant mengarahkan penutupan sepenuhnya Semenanjung Gaza, termasuk larangan kemasukan makanan, air, bahan api atau akses kepada elektrik.
Arahan itu dikeluarkan tatkala pengganas Israel memperhebat serangannya ke atas Semenanjung Gaza, yang kini sudah mengorbankan 900 rakyat Palestin. – Agensi