
TEL AVIV, 25 Rabiulawal 1445H, Rabu – Tentera pengganas Israel mendakwa diserang Syria melalui tembakan meriam dari Bukit Golan ke arah wilayah yang dijajahnya sejak 1967.
Jurucakap tentera mendakwa, beberapa pelancaran serangan dari Syria ke wilayah Israel kelihatan seperti tembakan mortar.
“Askar bertindak balas dengan meriam dan peluru mortar ke arah kedudukan asal serangan dilancarkan di Syria,” katanya dalam kenyataan pada hari keempat perang dengan Hamas sehingga menyebabkan ketegangan serantau meningkat.
Ini adalah pertempuran pertama antara Israel dan Syria sejak Hamas melakukan serangan besar-besaran ke atas wilayah Israel dari Semenanjung Gaza pada Sabtu lalu.
Kebimbangan terhadap satu lagi peningkatan konflik bertambah selepas pertempuran beberapa hari dengan pejuang di sempadan utara dengan Lubnan.
Menurut Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria – sebuah NGO yang berpangkalan di United Kingdom (UK) – peluru itu dilancarkan oleh pejuang Palestin yang bekerjasama dengan kumpulan Hizbullah Lubnan.
Israel menawan Bukit Golan dari Syria dalam Perang Enam Hari 1967. Rampasan kawasan strategik itu pada 1981 tidak diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). – Agensi