Berita Utama

SPR bincang tarikh PRK Kemaman 17 Oktober ini

Tiada notis rayuan difailkan terhadap keputusan mahkamah dalam tempoh 14 hari

BANGI, 25 Rabiulawal 1445H, Rabu – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi menetapkan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 17 Oktober ini.

Setiausahanya, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, mesyuarat khas itu akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh.

Katanya, mesyuarat itu akan membincangkan tarikh Writ Pilihan Raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain bagi melaksanakan pilihan raya berkenaan.

“SPR telah menerima laporan Hakim Pilihan Raya susulan keputusan petisyen pilihan raya di mana mahkamah telah membatalkan keputusan pilihan raya bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.040 Kemaman, Terengganu pada 19 November 2022 yang lalu.

“Sehingga tamatnya tempoh 14 hari rayuan, tiada notis rayuan difailkan terhadap keputusan mahkamah tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selaras Seksyen 36C Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, SPR akan mengeluarkan notis pilihan raya bagi mengisi kekosongan kerusi dalam tempoh 60 hari dari tarikh akhir ditetapkan untuk pemfailan rayuan.

Menurut Ikmalrudin, satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat khas berkenaan.

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu menerima petisyen yang difailkan seorang pengundi bagi membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman dari Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Keputusan itu dibuat Anselm setelah mendapati wujud unsur sogokan kepada pengundi ketika tempoh kempen pilihan raya bagi Parlimen berkenaan.

Pada 3 Januari lalu, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said memberitahu, pihaknya memfailkan petisyen memohon mahkamah membatalkan keputusan PRU15 melibatkan Parlimen Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu.

Menurut Ahmad, petisyen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu kerana didakwa berlakunya pengagihan wang secara berleluasa di ketiga-tiga kawasan itu.

Bagaimanapun, pada 12 Februari lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu menolak petisyen yang dikemukakan Barisan Nasional (BN) dan mengekalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid di Parlimen Kemaman pada PRU15.

Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abas membuat keputusan tersebut selepas bersetuju bantahan awal responden Ahli Parlimen Kemaman terhadap petisyen keputusan bagi Parlimen tersebut.

Namun, pada 2 Mei lalu, Mahkamah Persekutuan memerintahkan petisyen pilihan raya yang difailkan untuk mencabar keputusan PRU15 bagi Parlimen Kemaman dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan rayuan yang dikemukakan oleh BN dan pengundi dari Parlimen Kemaman supaya mahkamah mendengar perbicaraan penuh petisyen berkenaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button