Berita UtamaDunia

WFP agih makanan kepada 80,000 penduduk Gaza, Tebing Barat

RM81.7 juta diperlukan untuk empat minggu tangani situasi kritikal

GAZA, 25 Rabiulawal 1445H, Rabu – Program Makanan Sedunia (WFP) melancarkan operasi kecemasan dengan menyediakan bantuan makanan kepada lebih 80,000 penduduk di Gaza dan Tebing Barat, lapor Agensi Anadolu.

Agihan makanan itu dilakukan di pusat-pusat perlindungan yang menempatkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal.

Bagaimanapun, WFP melahirkan kebimbangan tentang penyediaan makanan di kedai-kedai tempatan kerana bekalan mula berkurang selepas Israel mengisytiharkan pengepungan sepenuhnya ke atas wilayah Palestin, kelmarin.

Semua pintu sempadan dan pusat pemeriksaan antara Gaza dan Israel ditutup, sekali gus memburukan lagi krisis dengan menghalang bantuan dihantar ke Gaza.

Agensi itu berkata, jika ia boleh menambah bekalan makanan melalui koridor kemanusiaan, ia mampu mengagihkan makanan kepada 300,000 orang.

Sebanyak AS$17.3 juta (RM81.7 juta) diperlukan dalam tempoh empat minggu akan datang bagi menangani situasi kritikal.

Sementara itu, Penyelaras Kemanusiaan untuk wilayah Palestin, Lynn Hastings berkata, kebanyakan penduduk Gaza mempunyai bekalan elektrik hanya tiga hingga empat jam sehari selepas rejim penjajah menyekat semua bekalan ke wilayah berkenaan.

Kementerian Kesihatan Gaza pula berkata, sekurang-kurangnya 830 rakyat Palestin terbunuh dan 4,250 cedera dalam pengeboman Israel.

Situasi berkenaan menyebabkan kira-kira 200,000 daripada 2.2 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal dalam pertempuran itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button