Berita Utama

iGuru harap sektor pendidikan terima lebih peruntukan

Tumpu 9 perkara termasuk isu kekurangan guru

BANGI, 26 Rabiulawal 1445H, Khamis – Menjelang Belanjawan 2024 esok, Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) berharap sektor pendidikan bakal menerima peruntukan lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya iaitu RM55.2 bilion.

Presidennya, Ustaz Mohd Azizee Hasan percaya, peruntukan yang tinggi ini akan menumpukan kepada sembilan perkara utama antaranya;

1. Meningkatkan kualiti dan profesionalisme guru melalui peningkatan bajet bagi pengambilan guru baharu dan menangani isu kekurangan guru;

2. Menaik taraf fasiliti pendidikan bagi menangani isu sekolah-sekolah daif, sekolah kepadatan murid dan sekolah-sekolah di kawasan luar bandar dan pendalaman;

3. Meningkatkan kecekapan dan penguasaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di kalangan murid melalui akses digital, akses pengajaran dan pembelajaran dan kualiti guru dengan peningkatan ilmu dan kemahiran;

4. Kebajikan guru melalui skim gaji yang progresif, elaun yang setimpal bagi menangani kos sara hidup;

5. Modul Pendidikan yang kalis masa depan bagi menangani keperluan masa depan dari aspek kerjaya masa depan, cabaran teknologi kecerdasan buatan (AI), era digitalisasi serta menyahut cabaran era BANI (Brittle, Anxiety, Non-Linear dan Incomprehensible);

6. Isu kebajikan murid dengan pemberian menaikkan kadar skim bantuan awal persekolahan, memperluas program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan sarapan pagi;

7. Penumpuan kepada bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk atasi keciciran pendidikan dan mengelakkan guna tenaga diabaikan akibat kurang berminat untuk menyambung ke peringkat yang lebih tinggi dengan menambah sekolah-sekolah teknik dan vokasional;

8. Insentif pembelian bahan Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) untuk guru-guru sebagai menghargai usaha dan penat lelah mereka mendidik murid- murid;

9. Pembangunan bakat dan nilai murid berteraskan agama dan karamah insaniah.

Ustaz Azizee berkata, wajar subjek agama dan institusi pendidikan Islam dimartabatkan dengan peruntukan yang lebih.

Menurutnya, sektor pendidikan wajar diutamakan dan didahulukan jika negara tidak mahu ketinggalan.

“Ini kerana guru yang berkualiti menjamin mutu pendidikan nusa dan bangsa.

“Apapun kita tunggu pembentangan belanjawan esok, diharap warga guru tersenyum dan merasa lega,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button