Berita Utama

KDN dalam peringkat akhir lantik anggota IPCC

Ketua, ahli suruhanjaya bakal diumum serentak

PUTRAJAYA, 26 Rabiulawal 1445H, Khamis – Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam peringkat akhir melantik ahli Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC), kata Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, proses pemilihan tujuh anggota suruhanjaya itu termasuk ketuanya sedang dijalankan.

“Jadi kita akan ambil masa beberapa bulan ini untuk menjelmakan dia sebagai satu entiti, organisasinya sudah ada.

“Namun orang yang mengisi nama anggota suruhanjaya itu dalam proses pemilihan. Kita akan umumkan serentak nanti siapa ketua dan siapa ahli suruhanjaya,” katanya seperti dilapor media tempatan.

IPCC telah dikuatkuasakan pada bulan Julai.

Tahun lepas, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang IPCC selepas berada dalam Kertas Perintah Parlimen sejak dua tahun lalu.

Ia menggantikan Rang Udang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC), yang dibentangkan oleh pentadbiran Pakatan Harapan pada 18 Julai 2019.

Peranan suruhanjaya bebas itu adalah memantau integriti pasukan polis dan menyiasat aduan salah laku yang melibatkan anggota polis. 

IPCC memberi kuasa penubuhan suatu badan untuk melaksanakan siasatan.

Manakala tindakan dan hukuman tatatertib masih dikekalkan dengan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) mengikut peruntukan sedia ada di dalam Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan.

Mengenai perkara lain, Saifuddin berkata, senarai hajat Bajet 2024 kementerian adalah untuk mewujudkan pusat perlindungan sementara untuk menempatkan kanak-kanak yang ditahan Jabatan Imigresen semasa operasi menentang pendatang tanpa izin.

Pusat sebegini telah pun beroperasi di Nilai, dikenali sebagai Baitul Mahabbah.

Terdapat 19 depoh Imigresen di seluruh negara menempatkan 12,000 tahanan, di mana 1,400 daripadanya adalah kanak-kanak.

“Semasa lawatan saya ke Amerika Syarikat baru-baru ini, usaha ini telah dipuji oleh pihak berkuasa AS dan badan PBB,” katanya.

“Perdana Menteri juga meminta ini (pembukaan pusat) menjadi keutamaan kementerian,” katanya sambil menambah anggaran kos untuk membuka tiga pusat perlindungan itu ialah RM10 juta.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button