Berita Utama

Kerajaan perkenal lawatan sosial jangka panjang untuk pelajar antarabangsa

Setuju longgarkan syarat bagi permohonan Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) untuk tingkatkan kedatangan pelancong, pelabur asing

KUALA LUMPUR, 27 Rabiulawal 1445H, Jumaat –  Kerajaan memperkenal Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang untuk pelajar antarabangsa yang telah tamat pengajian bagi menampung keperluan tenaga mahir industri.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia antara tiga inisiatif baharu yang diperkenal di bawah Pelan Liberalisasi Visa Malaysia dengan menyedari sumbangan besar sektor pelancongan dan pembuatan kepada pembangunan negara.

“Inisiatif lain ialah memudah cara kelulusan Pas Pengajian bagi pelabur strategik dalam sektor utama.

“Ketiga, menambah baik kemudahan Visa Ketibaan, pas lawatan sosial dan tawaran Visa Kemasukan Berulang bagi menggalakkan kemasukan pelancong dan pelabur terutama dari India serta China,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI yang bertemakan ‘Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat’ di Dewan Rakyat ,hari ini.

Beliau berkata kerajaan juga bersetuju melonggarkan syarat sedia ada bagi permohonan Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) untuk meningkatkan kedatangan pelancong dan pelabur asing ke negara ini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, mengumumkan kerajaan menyediakan RM350 juta bagi merancakkan promosi dan aktiviti pelancongan supaya Malaysia kembali sebagai destinasi pelancongan pilihan utama dunia.

Beliau berkata ia merangkumi penganjuran Kempen Melawat Malaysia 2026, kerjasama dengan industri dalam aktiviti promosi dan penganjuran acara pelancongan dalam dan luar negara serta bantuan kepada lebih 200 penggiat kebudayaan dalam menganjurkan aktiviti seni dan budaya.

Katanya geran padanan penerbangan carter dalam meningkatkan kemudahsampaian penerbangan antarabangsa ke Malaysia dan dana kepada Pusat Pelancongan Islam (ITC) untuk membangunkan industri pelancongan mesra muslim di negara ini juga antara langkah merancakkan promosi serta aktiviti pelancongan.

Perdana Menteri turut mengumumkan RM20 juta disediakan untuk manfaat kerajaan negeri bagi menyelenggara dan memulihara lokasi tarikan pelancongan seperti Tasik Timah Tasoh di Perlis, Taman Rimba Kenong di Pahang serta Pantai Teluk Kemang di Negeri Sembilan.

Beliau juga berkata RM80 juta disediakan bagi memelihara dan memulihara bangunan serta tapak warisan yang berpotensi diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) antaranya Gua Niah di Sarawak, Lembah Bujang di Kedah dan Royal Belum di Perak.

Kerajaan turut menyediakan RM20 juta kepada Think City untuk mengangkat serta memulihara nilai Kuala Lumpur sebagai bandar raya kreatif dan budaya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button